PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Rendah

06/01/2025 06:10 PM

 

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

 

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Pasaran getah tempatan ditutup rendah pada Isnin berikutan aliran menurun dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah penanda aras yang lemah, kata seorang peniaga.

Peniaga itu berkata peserta pasaran juga bertindak balas dengan kemungkinan penurunan kadar Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah pada 2025 berdasarkan data ekonomi terkini dan ketidaktentuan tarif serta dasar perdagangan AS.

"Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh ringgit  yang menyusut berbanding dolar AS dalam persekitaran langkah rangsangan China yang berterusan," katanya kepada Bernama.

Ketika ini, harga minyak mentah Brent susut 0.51 peratus kepada US$75.13 setong.

Peniaga itu berkata harga minyak turun pada Isnin disebabkan dolar AS yang mengukuh dan kebimbangan terhadap sekatan susulan pasaran menunggu data ekonomi utama daripada Rizab Persekutuan AS dan senarai gaji AS lewat minggu ini.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) susut 10 sen kepada 857 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 689 sen sekilogram.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy