KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Legenda muzik tanah air Datuk M. Nasir sekali lagi membuktikan kemampuannya dalam menghidupkan semula lagu yang hampir dilupakan, menerusi karya terbaharu beliau Nuri Terbang Malam, sebuah lagu klasik awal 1900-an.
Lagu asal nyanyian Qasim, seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang itu, dipercayai lagu Melayu pertama yang pernah direkodkan pada piring hitam sekitar 1903 oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramophone Company.
Pengarah produksi Luncai Emas Sdn Bhd Keon Omar dalam kenyataan hari ini, berkata lagu Nuri Terbang Malam itu merupakan sebahagian daripada 100 buah lagu klasik popular yang diberi nafas baharu, iaitu projek kerjasama antara Luncai Emas dan World Business Affairs Sdn Bhd, diberi nama “100 Lagu 100 Tahun”.
"Projek ‘100 Lagu 100 Tahun’ ini adalah cetusan idea Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan komposer serta penerbit terkenal Dr Mohd Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Azmeer. Objektif projek ini adalah untuk menghimpunkan 100 lagu popular Melayu dari awal abad ke-20 dalam bentuk audio dan juga buku,” katanya.
pic-2
Menurut beliau lagi, projek juga bertujuan memperkenalkan semula karya klasik kepada khalayak moden sebagai penghormatan terhadap sejarah seni muzik tanah air.
Dalam kenyataan sama, M. Nasir berkata sebagai penggiat seni, beliau ingin membawa karya-karya dahulu kepada generasi baharu tanpa melupakan asal usul.
"Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita, dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya," katanya.
Lagu tersebut boleh didengar di semua saluran digital, antaranya Youtube, Spotify dan Apple Music bermula 3 Jan 2025.
-- BERNAMA