AM

Bernama Terap Penggunaan AI Untuk Tingkat Kecekapan Dalam Penghasilan Berita

06/01/2025 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah mula menerapkan penggunaan peralatan kecerdasan buatan (AI) yang bertujuan meningkatkan lagi kecekapan petugas dalam melaksanakan tanggungjawabnya, terutama dalam aspek penghasilan berita.

Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai berkata teknologi itu telah memperkemas lagi tugasan yang dilaksanakan dengan ketara, termasuk dengan menerapkan fungsi suara-ke-teks dan fungsi pelbagai bahasa, yang menyerlahkan lagi kepentingan agensi berita itu untuk segera menyesuaikan diri dengan kemajuan AI.

“Latihan AI sangat penting. Saya berpendapat bahawa secara keseluruhan, tidak kira anda berada di jabatan mana sekalipun atau di peringkat mana, ada keperluan untuk mempelajari kemahiran AI ini. Jika anda telah menguasai kemahiran AI, anda tidak perlu risau.

“Ia (AI) semuanya bersifat teknikal, tapi mereka (petugas Bernama) telah beri taklimat kepada saya, bahawa mereka akan bekerja dengan pasukan kreatif, agar mereka bersiap sedia untuk menerimanya, terutama dengan penubuhan pejabat AI Kebangsaan, sudah tiba masanya kita dapat bergabung dan selaras semuanya bersama,” katanya semasa menjadi tetamu rancangan The Nation terbitan Bernama TV yang bertajuk ‘Bernama in 2025: Vision, Innovation and Challenges in a New Era’ hari ini.

Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan AI menggantikan tugas-tugas manusia, Wong berkata teknologi itu direka bentuk bagi mengetepikan tugas-tugas biasa dan remeh, yang akan membolehkan individu memberikan lebih tumpuan kepada kerja-kerja kreatif sebenar.

“AI dibangunkan untuk membantu anda, ia tidak seharusnya mengambil alih pekerjaan. Malah sesetengah dokumentari yang dihasilkan oleh AI kadangkala kekurangan ‘jiwa’ kerana ia tidak dilakukan oleh manusia, tetapi apabila ada unsur kemanusiaan dimasukkan, barulah hilang suasana yang ‘bagaikan tiada jiwa’ dan ia pasti kelihatan lebih baik,” katanya.

Beliau turut membayangkan buku “Bernama's Journey”, kompilasi sejarah agensi berita itu dan perjalanannya melangkah maju sedang diusahakan, dan ia dijangka diterbitkan tidak lama lagi.

“Dalam buku khusus ini, diharapkan kita dapat bercerita mengenai kisah-kisah penuh bersejarah di Malaysia, tarikh serta peristiwa penting daripada perspektif seorang wartawan yang membuat liputan acara tertentu dan bagaimana rasanya berada di sana. Apakah perasaan itu. Diharapkan buku ini dapat dihasilkan dengan jayanya.

“Saya dilatih oleh editor Bernama, yang baik dan yang garang, namun mereka semua adalah orang yang sangat baik. Mereka juga telah menjadikan kewartawanan Malaysia sangat hebat, bukan hanya di Bernama. Mereka harus diiktiraf, (daripada) bekas pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan editor, kita mahu himpunkan supaya mereka diiktiraf sebagai wira sebenar kewartawanan Malaysia,” katanya.

Merujuk kepada peranan Malaysia dalam Pengerusian ASEAN 2025, Wong berkata Bernama bertekad untuk menyampaikan laporan dengan tepat dan pantas serta pada masa yang sama mewujudkan semula hubungan agensi itu dengan media di seluruh rantau ini.

“Seperti yang kita semua tahu, walaupun terdapat isu-isu menarik, antara cabaran terbesar pastinya geopolitik di kawasan ini. Jika terdapat bidang yang mungkin terdapat ketegangan, kita tidak mahu memburukkannya. Peranan kita adalah untuk melaporkannya dengan tepat dan menyampaikan dengan betul dan pantas,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy