AM

AI Bakal Pengaruhi Lebih 30 Peratus Pekerjaan Di Malaysia Dalam Tempoh 10 Tahun - Chang

07/01/2025 05:52 PM

PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Analisis terkini kerajaan menunjukkan bahawa lebih 30 peratus pekerjaan di Malaysia akan dipengaruhi oleh kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh 10 tahun akan datang, dengan sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan dan teknologi maklumat dijangka melalui transformasi signifikan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata di Malaysia, cabaran tenaga mahir semakin ketara dan memerlukan perhatian segera iaitu statistik menunjukkan bahawa lebih 600,000 pekerja perlu menjalani latihan semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun untuk kekal relevan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.

“Tambahan pula, menjelang 2030 negara diunjurkan memerlukan 500,000 pekerja mahir tambahan bagi memenuhi keperluan sektor teknologi dan teknikal. Angka-angka ini menunjukkan keperluan mendesak untuk membangunkan ekosistem latihan dan pensijilan yang efektif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pensijilan Pembangunan Profesional Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di sini hari ini.

Beliau berkata dalam konteks berkenaan, tenaga kerja Malaysia perlu bersedia untuk berhadapan dengan perubahan tersebut iaitu proses latihan semula dan peningkatan kemahiran menjadi amat penting terutama dalam bidang teknologi dan teknikal, agar Malaysia dapat bersaing di peringkat global dan memenuhi keperluan industri yang terus berkembang.

“Oleh itu, kerajaan sedang giat memastikan kursus dan latihan yang ditawarkan selaras dengan keperluan piawaian antarabangsa dan keperluan industri 4.0… ini termasuk kursus dalam bidang seperti keselamatan siber, pengurusan sistem pintar dan analitik data,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh daya saing negara, beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MBOT ditugaskan untuk membangunkan inisiatif bagi merapatkan jurang kemahiran pekerja, seterusnya menaik taraf kebolehan bakat tempatan.

Justeru, katanya MBOT telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Majlis Pembangunan Profesional Teknologi dan Teknikal (TPDC) bertujuan membangunkan kerangka jaminan kualiti dan pensijilan kursus jangka pendek yang komprehensif dalam bidang teknologi dan teknikal.

Selain itu ia juga bertujuan memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang untuk menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Pada masa ini, tiada badan khusus memastikan jaminan kualiti kursus jangka pendek yang ditawarkan, justeru MBOT melalui mandat daripada Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768), telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan TPDC bagi menilai aspek seperti kualiti pengajar, kandungan dan pendekatan kursus serta aspek penilaian.

Chang berkata menerusi kerangka TPDC, latihan yang diberikan kepada pekerja Malaysia bukan sahaja diiktiraf oleh industri tempatan tetapi juga memenuhi piawaian profesional yang ditetapkan, memastikan kemahiran yang diperoleh bersesuaian dengan keperluan industri global yang sentiasa berubah.

Sementara itu, Presiden MBOT Prof Emerita Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dalam ucapannya berkata penubuhan TPDC merupakan inisiatif MBOT dalam mencapai hasrat yang telah digariskan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030.

“Satu daripada teras utama dasar ini menekankan usaha untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme modal insan dalam sektor teknologi dan inovasi.

“TPDC juga akan menjadi platform penting untuk melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam menentukan hala tuju pembangunan modal insan teknologi dan teknikal yang relevan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) yang menyokong inisiatif pensijilan berkenaaan iaitu melalui kerjasama itu, semua kursus jangka pendek yang disahkan oleh MBOT akan diiktiraf sebagai program Focus Area dan Industry Specific.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy