JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Rampas Beras, Lembu, Kenderaan Bernilai Lebih RM800,000 Di Sempadan

07/01/2025 08:52 PM

KOTA BHARU, 7 Jan (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas dua treler, lebih 35 metrik tan beras serta 14 ekor lembu dianggarkan bernilai lebih RM800,000 dalam dua rampasan berasingan di Pasir Mas dan Tanah Merah, hari ini dan semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata pasukannya bersama Unit Kereta Peronda daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas menahan sebuah treler dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram Yasin di Lubok Gong, Pasir Mas, 9.30 pagi, hari ini. 

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang treler ditemukan 35,290 kilogram (kg) beras Siam bernilai RM141,160 disyaki diseludup masuk dari Thailand.

“Seorang pemandu lelaki berusia 32 tahun gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan beras yang dibawa telah ditahan dan siasatan lanjut dipercayai kesemua beras tersebut dibawa masuk dari negara jiran melalui laluan tidak sah,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya kesemua barangan rampasan termasuk beras dan treler jenis Volvo dianggarkan bernilai RM561,160 manakala suspek diserahkan kepada pihak Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, anggota Batalion 9 PGA menahan sebuah treler jenis Hino yang membawa 14 ekor lembu bernilai RM136,500 di Sekatan Jalan Raya Lalang Pepuyu, 3.30 petang semalam.  

Beliau berkata pemandu treler itu iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun mengemukakan dokumen berkaitan lembu yang dibawa namun kesemua tag telinga haiwan itu tidak sama seperti dalam permit pindah binatang yang diberikan serta meragukan.

“Keseluruhan rampasan iaitu lembu dan treler dianggarkan bernilai RM321,500 telah dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut oleh Jabatan Veterinar," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy