JENAYAH & MAHKAMAH

Persatuan Pengusaha Lori Saran Kualiti Tayar Celup Di Pasaran Dipantau

04/01/2025 05:35 PM

Oleh Mohd Adli Shahar & Mohd Firdaus Md Saisi

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Pengunaan tayar celup tidak dinafikan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengusaha kenderaan berat memandangkan harganya yang jauh lebih murah, sekali gus dikatakan mendominasi 80 peratus pasaran tayar kenderaan perdagangan. 

Dengan perbezaaan begitu ketara sehingga lebih RM500 lebih murah berbanding jenama tempatan mahupun import dari negara lain, maka tidak hairanlah ia menjadi pilihan pengusaha kenderaan perdagangan apabila dapat menjimatkan kos sehingga 60 peratus bagi penukaran sesebuah tayar. 

Bagaimanapun kualiti tayar berkenaan, sama ada ia selamat dan sesuai digunakan dengan cuaca negara ini, sering menjadi tajuk perbincangan ramai.

Pengerusi Persatuan Pengusaha-pengusaha Lori Tipper Malaysia Datuk Michael Loo Leep Chye melihat akan keperluan segera kajian terhadap tayar lori, treler dalam pasaran ketika ini dilakukan, bagi memastikan kualitinya terjamin dalam usaha mencegah kemalangan yang berpunca daripada pilihan tayar. 

Selain itu isu tayar dikenal pasti merupakan faktor kedua bagi kira kira-kira lapan peratus kenderaan berat yang gagal pemeriksan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) setiap tahun daripada purata 2.8 juta pemeriksaan dilakukan, selain brek yang menjadi masalah utama.

“Tayar-tayar dengan harga lebih murah ini berada dalam pasaran kerana terdapat permintaan daripada pemilik syarikat yang mahu mengurangkan kos operasi mereka. Kita mahukan kajian dan penggunaannya perlu dipantau bagi memastikan ia benar-benar selamat digunakan,” katanya kepada Bernama. 

Meninjau beberapa bengkel yang menyediakan perkhidmatan menukar tayar kenderaan berat, Bernama mendapati harga bagi tayar bersaiz 215-75-17.5 yang banyak digunakan lori jenis trailer adalah dalam lingkungan RM1,000 bagi tayar dengan kualiti terbaik manakala RM350 bagi tayar celup. 

Loo berkata pemantauan kualitu tayar amat penting memandangkan pengusaha kenderaan perdagangan ketika ini menggunakan tayar kualiti terbaik pada dua tayar hadapan sementara tayar murah dan tayar celup menjadi pilihan mereka bagi tayar belakang.

“Bergantung kepada kemampuan kewangan. Penggunaan tayar dengan susunan seperti itu adalah perkara biasa kerana tayar celup juga mempunyai pengesahan kualiti namun pemantauan berterusan adalah perlu terutama bagi tayar-tayar import dengan harga yang murah,” katanya. 

Presiden Persatuan Pengilang Tayar Celup Malaysia (TRMAM) Wong Jin How pula melihat kualiti tayar celup tidak wajar dipertikaikan memandangkan penghasilan tayar celup bagi kenderaan berat oleh syarikat tempatan perlu mematuhi piawaian ketat yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan ia selamat digunakan di jalan raya

Beliau berkata pengilang yang berdaftar dengan persatuan berkenaan diiktiraf dengan MS 224: 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia.

“Setiap tayar celup yang dihasilkan perlu mematuhi syarat ketat yang dinyatakan dalam MS 224: 2019 dan selamat digunakan, sama seperti tayar baharu walaupun ia dijual pada harga lebih rendah antara RM400 hingga RM600 sebuah berbanding tayar baharu yang mencecah antara RM600 hingga RM2,000. 

“Terdapat jawatankuasa teknikal yang terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Getah Malaysia, Puspakom dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang memberi nasihat dan memantau pengeluaran tayar celup oleh syarikat tempatan,” katanya. 

Wong berkata malah pengeluar tayar celup tempatan juga perlu mematuhi piawaian ECE R108/R109 yang diguna pakai bagi pasaran Eropah bagi membolehkannya dieksport ke benua itu dan ia merupakan amalan biasa bagi industri pengangkutan di seluruh dunia untuk menggunakan tayar jenis berkenaan.

Selain itu pengilang tayar celup tempatan juga mempunyai polisi penggantian tayar jika terdapat kerosakan berpunca daripada proses pembuatan.

"Jika kita lihat kemalangan di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini, tayar yang tercabut adalah tayar hadapan lori dan mengikut peraturan JPJ, tayar hadapan perlu menggunakan tayar baharu dan bukan tayar celup,” katanya.

Sementara itu bagi pemilik syarikat logistik Tan Boon Heng, 55, penggunaan tayar celup menjadi pilihannya memandangkan operasi mengangkut batu dan pasir banyak menggunakan laluan luar jalan raya (off road) dan kerana itu, penyelenggaraan tayar lori trelernya perlu dibuat secara berkala. 

Bagi sebuah lori yang sentiasa bergerak setiap hari dengan muatan maksimum, Tan berkata tayar celup yang digunakan perlu ditukar setiap tiga hingga enam bulan manakala tayar dengan kualiti lebih baik perlu ditukar antara enam bulan hingga setahun. 

“Syarikat saya beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, menggunakan lori treler dengan setiap satu menggunakan 10 tayar. Jadi kos untuk penyelenggaraan tayar memang tinggi,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy