SUKAN

Ivan Mamut Kembali Bersama Skuad Penyu Selepas Berehat Panjang

08/01/2025 11:55 AM

KUALA NERUS, 8 Jan (Bernama) -- Impian penyokong untuk melihat penyerang import Ivan Mamut kembali beraksi menjadi kenyataan apabila pemain itu dijangka membantu Terengganu FC (TFC) menghadapi saingan separuh akhir Piala Malaysia dan baki perlawanan Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Sabri Abas berkata Mamut tiba di Terengganu tengah hari semalam bagaimanapun akan menjalani pemeriksaan serta rawatan pemulihan bersama kakitangan perubatan TFC terlebih dahulu.

Pemain dari Croatia itu berehat panjang hampir setahun susulan kecederaan tendon Achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim.

"Mamut terpaksa berehat panjang untuk pembedahan dan rawatan di luar negara akibat kecederaan itu dan beliau diberi kebenaran menjalani tempoh pemulihan di Croatia untuk lebih selesa. 

"Alhamdulillah, kedatangan Mamut semalam membawa kelegaan dan berita gembira buat peminat bola sepak Terengganu yang sudah lama merindukan aksinya di padang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Sabri berkata kehadiran Mamut juga mampu memperkuat barisan serangan TFC bersama dua lagi tonggak import iaitu penyerang kelahiran Nigeria Ismaheel Akinade dan Nelson Bonilla dari San Salvador, El Salvador. 

"Kami harap Mamut cepat pulih dan dapat beraksi pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Gong Badak pada 17 Jan ini," katanya.

Pada musim lepas, Mamut yang digelar ‘mesin gol’ oleh penyokong pasukan hitam putih itu mencatat rekod baik apabila meledak 23 gol daripada 35 penampilan keseluruhan termasuk di pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023. 

Skuad Penyu yang dibimbing ketua jurulatih Badrul Afzan Razali menghuni tangga keempat Liga Super dengan 24 mata.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy