SUKAN

Wakil Tunggal Perseorangan Wanita Negara, Jin Wei, Tersingkir Awal

08/01/2025 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Wakil tunggal negara dalam acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei, tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Impian pemain profesional wanita negara berusia 24 tahun itu untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan berstatus Super 1000 itu tidak kesampaian apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pemain India, Malvika Bansod.

Jin Wei, bekas juara remaja dunia dua kali dan pemain ranking ke-42 dunia, jelas tidak mampu menandingi ketangkasan Malvika sejak awal perlawanan dan akhirnya tewas 15-21, 16-21 dalam masa 45 minit.

Sebaik perlawanan tamat, Jin Wei segera mendapatkan rawatan perubatan akibat kekejangan di bahagian perutnya.

Ketika menemui wartawan selepas itu, Jin Wei mengakui kekalahan tersebut berpunca daripada kelemahan mentalnya.

“Perlawanan tadi saya tak dapat bermain dengan baik. Saya juga mengalami kekejangan tetapi itu perkara biasa bagi saya, cuma selepas perlawanan sakitnya bertambah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mengalami debut mengecewakan apabila tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Sung Jae, 17-21, 11-21.

Wan Arif mengakui bahawa konsistensi lawan menjadi faktor utama kekalahan mereka dalam perlawanan yang berlangsung selama 45 minit itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy