KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Pasangan beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai melangkah mudah ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Malaysia 2025 selepas menewaskan gandingan Amerika Syarikat (AS) Presley Smith-Jennie Gai hari ini.
Pasangan pilihan keempat kejohanan itu tidak berdepan masalah untuk mara apabila mencatatkan kemenangan straight set 21-15, 21-19 dalam tempoh 36 minit sahaja di Axiata Arena.
Di sebalik kemenangan itu, Shevon mengakui beliau dan pasangannya tidak berpuas hati dengan prestasi mereka, yang disifatkannya banyak melakukan kesilapan tidak sepatutnya semasa perlawanan itu.
"Saya rasa ia penghormatan untuk kami memenangi perlawanan pertama ini buat Malaysia. Sudah tentu dalam perlawanan pertama kami masih mencari rentak dan ia tidak sempurna.
"Tetapi, pasangan saya bermain dengan baik dan beliau sangat tenang. Saya rasa lebih banyak yang perlu kami lakukan pada perlawanan seterusnya," katanya.
Sementara itu, Soon Huat berharap mereka dapat kekal fokus untuk menewaskan gandingan India, sama ada S. Karunakaran-A. Variyath atau A. Surya-A. Pramutesh, pada pusingan kedua esok.
"Kita kena bersedia dengan baik dan terus tumpukan perhatian langkah demi langkah. Kami menyasarkan sekurang-kurangnya mara ke suku akhir," katanya.
-- BERNAMA