KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Malaysia yang bakal menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini akan mengumumkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipertingkatkan, yang dijangka menjadi pencetus perubahan apabila ASEAN menonjolkan dirinya sebagai "ideal" kepada rantaian bekalan global.
Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Satvinder Singh berkata perjanjian yang dipertingkatkan itu, antara lain, menyokong pembuatan semula secara pekeliling serta mekanisme penyelesaian pertikaian.
Beliau berkata pada mulanya, aliran pembuatan semula secara pekeliling tidak pernah mendapat sokongan pada masa lalu, namun kini ia akan menjadi keutamaan yang benar-benar menyokong rantaian bekalan global.
"Hari ini, 40 peratus daripada rantaian bekalan anda perlu diambil kira dan perlu bersifat pekeliling untuk pembuatan semula secara besar-besaran. Mereka (syarikat) perlu berasa selesa di ASEAN kerana mereka boleh melakukan perkara itu dan mengurusnya dengan berkesan.
"ATIGA kami yang dipertingkatkan ini akan memberi kejelasan kepada mereka," katanya pada hari kedua ASEAN Economic Opinion Leaders Conference: Outlook For 2025 di sini hari ini.
Bagi menangani pertikaian pula, Satvinder berkata syarikat akan mempunyai pilihan untuk memilih pengantaraan selain daripada timbang tara sebagai kaedah untuk menguruskan pertikaian antara negara.
"Sekali lagi, ini adalah peningkatan yang hebat yang akan membantu banyak isu rantaian bekalan global yang mungkin dihadapi antara negara," katanya.
Satvinder berkata ASEAN harus mengambil peluang ini untuk memanfaatkan rantaian bekalan global memandangkan banyak pengeluar global tidak hanya melihat kepada satu ekosistem, tetapi juga ekosistem serantau yang boleh menyokong rantaian nilai mereka sendiri.
"Mereka (syarikat) tidak mencari bantuan, mereka mencari akses pasaran, keupayaan untuk membawa masuk sumber manusia, modal dan input ke dalam perniagaan mereka dengan cara yang lebih bebas.
"Mereka mencari penghapusan rintangan seperti itu di rantau ini yang akan menjadikan kita (ASEAN) sebagai pusat rantaian bekalan yang lebih berkesan untuk dunia," katanya pada sesi panel bertajuk 'Reinforcing Regional Economic Integration for a Resilient ASEAN'.
Seorang lagi ahli panel, Pengarah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Centennial Asia Advisors Manu Bhaskaran berkata terdapat peluang untuk ASEAN, terutamanya dalam meneruskan pertumbuhan dan perdagangan.
"Adalah menjadi kepentingan kita untuk memelihara sistem perdagangan dunia," katanya sambil menambah ASEAN boleh menerajui dalam menghidupkan semula Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
"Kita boleh mengemukakan beberapa cadangan untuk China dan AS menyelesaikan isu-isu perdagangan dan menghidupkan semula WTO," katanya.
Mengenai persoalan bagaimana rantaian bekalan ASEAN dapat dipertingkatkan, beliau berkata AEC telah merangka pelan yang membolehkan rantau berkenaan mencapai kemajuan dalam bidang tersebut.
"Pelan-pelan tersebut belum dilaksanakan sepenuhnya. Jadi, kita hanya boleh memenuhi janji yang dibuat dalam AEC dan berkomunikasi dengan syarikat-syarikat berkenaan," katanya.
Salah satu daripada empat tonggak AEC adalah untuk menyasarkan pasaran dan pengeluaran tunggal.
Di bawah Rangka Kerja ASEAN mengenai rantaian bekalan, objektif untuk meningkatkan daya saing ASEAN adalah dengan mengurangkan kos rantaian bekalan di setiap negara anggota ASEAN dan meningkatkan kelajuan, kebolehpercayaan dan daya tahan rantaian bekalan di ASEAN.
-- BERNAMA