JAKARTA, 9 Jan (Bernama) -- Tema Kepengerusian ASEAN 2025, "Keterangkuman dan Kelestarian" mencerminkan komitmen kolektif rantau ini untuk membentuk masa depan yang saksama dan berdaya tahan, sejajar dengan trend global semasa dan aspirasi rakyatnya, kata Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Dalam ucapannya pada perasmian Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Perwakilan Tetap (CPR) ke ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia, Kao menekankan bahawa prinsip itu akan mengemudi usaha ASEAN dalam integrasi ekonomi, tindakan iklim, kesalinghubungan dan kesaksamaan sosial.
"Tahun 2025 menandakan detik penting dalam perjalanan kolektif kita, ketika rantau ini berada di persimpangan peralihan global yang transformatif," kata beliau dalam ucapannya yang dikeluarkan pada Khamis oleh Sekretariat ASEAN di sini.
Kao menyatakan bahawa rantau ini berada di persimpangan dinamik geopolitik, penyusunan semula ekonomi dan kemajuan pesat dalam teknologi hijau, pendigitalan dan kecerdasan buatan.
Tahun ini juga penting bagi ASEAN kerana ia mengkaji semula Pelan Tindakan Komuniti ASEAN 2025 dan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025, bersedia untuk menerima Wawasan Komuniti ASEAN 2045, rangka kerja strategik yang direka untuk menangani cabaran dan peluang yang muncul, jelasnya.
Mesyuarat itu dihadiri oleh Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN dan Pengerusi CPR, Duta Besar Sarah Al Bakri Devadason, bersama Wakil Tetap ke ASEAN, Duta Besar Timor-Leste ke ASEAN Natercia Cipriana Coelho da Silva dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN.
Kao menekankan kepentingan kerjasama erat antara CPR dan Sekretariat ASEAN untuk memastikan pelaksanaan perjanjian ASEAN yang berkesan dan meningkatkan keupayaan blok itu untuk menangani keutamaan merentasi bidang dan sektor.
Beliau seterusnya menekankan keperluan bagi ASEAN mengukuhkan integrasi serantau, meningkatkan daya tahan dan memupuk semangat kemasyarakatan yang lebih mendalam, sambil menjaga keutamaan ASEAN secara luaran, memperjuangkan keamanan dan kestabilan, memajukan kemakmuran dan menjalin perkongsian yang membina dengan semua pihak berkepentingan.
Kao melahirkan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN akan bangkit menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang, sambil mempercayai sepenuhnya CPR, yang diketuai oleh Duta Besar Sarah dan pasukannya, untuk melaksanakan mandat yang semakin berkembang ini dengan jayanya.
"Bagi pihak Sekretariat ASEAN, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada CPR atas setiap kejayaan di bawah Kepengerusian Malaysia.
"Marilah kita bergabung tenaga untuk membina ASEAN yang inklusif, mampan, dinamik dan berdaya tahan yang berkhidmat kepada rakyatnya dengan cemerlang dan kekal sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam komuniti global," tambah beliau.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025 menandakan kali kelima memegang jawatan itu, yang menggalas jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA