AM

Perkasakan Peranan NAFAS Edar Baja Kepada Petani - PPK

09/01/2025 09:53 PM

SUNGAI PETANI, 9 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Kedah mahu peranan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam pengedaran baja diperkasakan dan enggan tugas itu diserahkan kepada pihak swasta.

Ahli Jemaah Pengarah PPK Merbok Hamdi Said berkata timbul kebimbangan apabila ada desas-desus untuk menswastakan pengedaran baja kepada petani dan peladang.

“Peranan NAFAS perlu diperkasakan kerana apabila diswastakan kepada pihak luar akan memberi kesan kepada petani sebab pihak swasta sudah tentu mementingkan keuntungan.

“Sedangkan NAFAS ialah satu entiti yang boleh memberikan pulangan balik kepada petani … sejak dahulu menjaga kebajikan pesawah dan ahli peladang. Malah, keuntungan yang diraih oleh NAFAS turut dikongsi semula dengan ahli dalam bentuk dividen saham,” katanya kepada pemberita di Kampung Padang Tok Sora, Merbok dekat sini hari ini.

Beliau berkata dalam keadaan ekonomi tidak menentu risiko besar menanti petani sekiranya penswastaan ini benar-benar dilaksanakan.

“Lebih terkesan petani yang memiliki sawah berkeluasan kecil … wujud keadaan mereka terpaksa membeli beras dalam kuantiti sekilo atau dua kilo meskipun mereka turut mengusahakan padi. Justeru, jika NAFAS terus diberi kepercayaan dan diperkasakan, saya yakin situasi ini dapat diubah dan nasib petani kembali terbela,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi PPK Guar Cempedak Jamaludin Hussin mahu peranan NAFAS diperluas termasuk menjalankan kajian terhadap pH (ukuran keasidan atau kealkalian) tanah mengikut kawasan berbeza dalam usaha menghasilkan baja mengikut kesesuaian tanah.

“Tak perlu diswastakan, biar NAFAS terus memainkan peranan sebagai pengedar baja cuma mungkin peranannya boleh diperluas dengan membuat kajian pH tanah seterusnya menghasilkan baja yang lebih berkualiti bagi meningkatkan pengeluaran padi.

“Buat masa ini, semua kawasan menerima baja yang sama ... sama ada di kawasan bukit atau berhampiran laut, kalau NAFAS dapat buat kajian dan bekalkan baja berkualiti mengikut keperluan tanah di kawasan berkenaan ia dapat membantu meningkatkan hasil,” katanya.

Beliau berkata hasil sesetengah kawasan mencecah purata lima hingga enam tan malah ada kawasan mengeluarkan purata tujuh hingga lapan tan padi.

“Jika kualiti baja ditingkatkan sesuai dengan pH tanah maka hasilnya dijangka meningkat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata PPK Guar Cempedak tidak mengalami masalah kelewatan penerimaan baja daripada NAFAS.

“Setakat ini urusan agihan berjalan lancar, mungkin faktor kedudukan kilang NAFAS yang berdekatan dengan PPK kami.

“Bagaimanapun, kami sering berkomunikasi dengan pihak NAFAS berhubung bekalan baja bagi memastikan kelancaran pengagihannya kepada petani,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PPK MADA Ishak Taib pula berharap agar kerajaan dapat mempercepat proses pengurusan kontrak pembekalan baja hanya kepada NAFAS supaya pengagihan baja berjalan lancar.

“Keadaan pembekalan sedia ada sudah elok ... pembekalan baja sebatian atau baja campuran, pembekalan baja urea dan baja NPK cukup baik, baja yang dibekalkan NAFAS selama ini sampai kepada petani mengikut jadual.

“Mungkin penambahbaikan dari segi pengurusan boleh dibuat supaya pengagihan di peringkat bawah tetap berjalan lancar ,” katanya.

Beliau berkata terdapat 27 PPK di Kedah dan Perlis membabitkan wilayah satu hingga empat.

“Sejak tahun 70-an baja dibekalkan oleh NAFAS sehingga sekarang dan pembekalan berjalan lancar.

“Saya risau jika dibekalkan pihak lain, kita tak nampak mereka ini memahami atau tidak rutin penanaman padi atau pembekalan yang dibuat namun jika proses pengagihan lambat akan beri kesan ketara kepada hasil padi,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa hubungan erat antara NAFAS dan PPK melalui rantaian Pertubuhan Peladang menjadi kunci utama memastikan keberkesanan sistem ini demi manfaat semua pihak.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy