Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- FBM KLCI meneruskan penurunannya bagi hari kedua berturut-turut hari ini apabila sentimen pasaran terus menerima tekanan akibat daripada peningkatan risiko luar terutamanya pertumbuhan lemah ekonomi China dan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik daripada jangkaan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 14.02 mata, atau 0.86 peratus, kepada 1,600.81 daripada paras penutup 1,614.83 pada Rabu.
Indeks utama itu dibuka tinggi naik 3.34 mata kepada 1,618.17 dan bergerak antara paras 1,600.75 dan 1,618.17 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 900 berbanding 231, 454 kaunter tidak berubah, 785 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.49 bilion unit bernilai RM2.93 bilion daripada 3.59 bilion unit bernilai RM3.06 bilion pada Rabu.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata gabungan data ekonomi China yang lemah, prestasi kukuh ekonomi AS dan ketidakpastian berhubung dasar perdagangan AS pada masa akan datang telah mencetuskan persekitaran yang mencabar bagi pelabur.
Faktor-faktor ini terus menjejaskan minat risiko, seterusnya menyumbang kepada penurunan berterusan FBM KLCI, yang susut lebih daripada 40 mata setakat tahun ini. Tinjauan ekonomi yang lebih meluas masih dibayangi oleh tekanan luar ini.
Beliau juga berkata memburukkan lagi ketidaktentuan ini adalah apabila minit mesyuarat terbaharu Rizab Persekutuan AS (Fed) memberi isyarat "andaian gantian" mengenai potensi peralihan dasar perdagangan di bawah pentadbiran Trump 2.0.
“Andaian ini membayangkan Fed sedang menilai kemungkinan kesan ekonomi daripada dasar seperti tarif yang lebih tinggi atau perubahan kepada perjanjian perdagangan. Walaupun tarif perdagangan yang dinaikkan mungkin menjadi keutamaan bagi pentadbiran baharu, ia berkemungkinan menimbulkan risiko besar kepada pertumbuhan.
“Keputusan dasar monetari Fed akan terus bergantung kepada data, tetapi ketidaktentuan dasar perdagangan boleh memainkan peranan penting untuk menangguhkan penurunan kadar faedah, walaupun angka inflasi dan pekerjaan menunjukkan peningkatan,” katanya kepada Bernama.
Di Bursa Malaysia, Mohd Sedek berkata semua indeks sektor mencatatkan penurunan, mencerminkan penyusutan pasaran yang lebih meluas.
“Bagaimanapun, di sebalik prestasi negatif ini, jumlah dagangan masih kekal kukuh dengan 3.28 bilion saham bertukar tangan, yang menunjukkan aktiviti pelabur masih berterusan, mencerminkan tahap daya tahan dan penglibatan walaupun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kedua-dua Maybank dan CIMB menokok dua sen masing-masing kepada RM10.08 dan RM8.11, Petronas Dagangan naik enam sen kepada RM19.70, manakala Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM4.73 dan YTL Power susut 31 sen kepada RM4.0.
Dalam kalangan kaunter cergas, Swift Energy meningkat 2.5 sen kepada 42 sen, Elridge menokok 3.5 sen kepada 45.5 sen, TWL tidak berubah pada 2.5 sen, SNS Network susut 4.5 sen kepada 63.5 sen dan MYEG turun empat sen kepada 92 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 135.67 mata kepada 12,294.67, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 166.18 mata kepada 12,260.85, Indeks FBMT 100 berkurangan 127.78 mata kepada 11,977, Indeks FBM 70 merosot 282.03 mata kepada 18,480.12 dan Indeks FBM ACE turun 68.34 mata kepada 5,309.83.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.72 mata kepada 170.62, Indeks Tenaga turun 16.54 mata kepada 835.32, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 44.60 mata kepada 18,853.78 dan Indeks Perladangan berkurangan 22.57.533 kepada 7,533.36.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.83 bilion unit bernilai RM2.59 bilion daripada 1.64 bilion unit bernilai RM2.65 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran susut kepada 1.07 bilion unit bernilai RM108.46 juta daripada 1.17 bilion unit bernilai RM121.60 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 583.14 juta unit bernilai RM229.70 juta daripada 777.83 juta unit bernilai RM287.48 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 169.27 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (432.17 juta), pembinaan (173.73 juta), teknologi (294.80 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (56.92 juta), hartanah (282.85 juta), perladangan (29.69 juta), REITs (13.77 juta), dana tertutup (216,000), tenaga (96.26 juta), penjagaan kesihatan (112.98 juta), telekomunikasi dan media (45.29 juta), pengangkutan dan logistik (28.16 juta), utiliti (94.81 juta), dan amanah perniagaan (245,100).
-- BERNAMA