EKONOMI

Johari Ghani Mulakan Lawatan Rasmi Ke Pakistan, Hadiri PEOC

09/01/2025 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan memulakan lawatan rasmi ke Pakistan hari ini untuk merasmikan Persidangan Minyak Makan Pakistan (PEOC) di Karachi, yang dijadualkan pada 11 Januari.

PEOC ialah acara tahunan terulung untuk sektor minyak makan yang menghimpunkan kalangan pengeluar, peniaga, pembeli dan penggubal dasar dari seluruh rantau ini.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata persidangan tahun ini akan menjadi platform untuk meneroka perkembangan industri, membincangkan amalan mampan dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam perdagangan minyak makan.

“Johari dijangka menyampaikan ucaptama semasa majlis perasmian dan akan memberi tumpuan kepada kepimpinan Malaysia dalam amalan minyak sawit mampan, peningkatan permintaan global untuk minyak masak dan terbitannya serta kepentingan ekonomi minyak sawit kepada kedua-dua negara.

"Beliau juga akan menekankan manfaat bersama daripada perdagangan yang dipertingkatkan, inovasi dan kerjasama yang mengesahkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungannya yang telah lama terjalin dengan Pakistan dalam industri minyak sawit dan minyak makan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata Johari juga akan bertemu dengan Menteri Perusahaan dan Pengeluaran Pakistan untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dan pemimpin perniagaan dalam industri minyak sawit.

“Mesyuarat ini akan memberi tumpuan kepada peluang Malaysia untuk menguasai semula bahagian pasarannya dalam sektor minyak dan lemak Pakistan sambil memupuk strategi kerjasama untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia.

“Pakistan adalah pengimport minyak sawit ketujuh terbesar Malaysia, menjadikannya rakan kerjasama strategik dalam sektor minyak makan. Lawatan ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama perniagaan antara pemegang kepentingan Malaysia dan Pakistan sambil mempromosikan kedudukan minyak sawit Malaysia sebagai produk yang mampan dan berkualiti tinggi,” katanya.

KPK berkata dengan peningkatan permintaan global untuk minyak makan yang mampan dan berkualiti tinggi, Malaysia komited untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pembekal yang konsisten dan dipercayai.

“Lawatan dan penyertaan Johari dalam PEOC memperlihatkan dedikasi negara untuk membina kerjasama antarabangsa yang kukuh, menggalakkan perdagangan bernilai tambah dan memacu kemajuan dalam industri minyak sawit,” kata kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy