Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Dengar sahaja bunga malai yang sinonim dengan masyarakat India, pastinya ramai membayangkan untaian pelbagai jenis bunga berbau wangi dan berwarna terang membentuk kalung yang biasanya dipakai di majlis tertentu.
Bagaimanapun, sejak belakangan ini, bunga malai tidak lagi hanya berbentuk kalung, sebaliknya ditampilkan dalam pelbagai corak, bergantung pada kreativiti si penjual, sehingga menarik perhatian kaum lain yang menjadikan gubahan itu sebagai hadiah kepada kenalan bersempena dengan hari-hari yang istimewa.
Malah, pernah tular di media sosial bunga malai menjadi pengganti jambangan bunga pada hari apresiasi seperti konvokesyen dan sebagainya kerana jauh lebih murah berbanding harga sejambak bunga.
Selari dengan perkembangan semasa, peniaga T.Jeysri, 30, berkata ahli masyarakat semakin memahami kalungan bunga itu tidak ada kaitan dengan pemujaan, tetapi lebih kepada simbol penghargaan atau kebanggaan atas kejayaan orang tersayang.
pic-2
Dia yang mengusahakan perniagaan itu sejak lima tahun lalu, tidak menang tangan melayani permintaan daripada pelanggan pelbagai bangsa, khususnya orang muda, yang terpikat dengan kelainan bunga malai gubahannya.
“Untuk memastikan bunga malai kekal relevan, saya perlu kreatif dalam menghasilkan kalungan bunga yang dapat menarik minat generasi muda, antaranya dengan menjadikan gubahan sebagai hiasan di atas meja atau perhiasan rambut.
“(Saya) Tawarkan pelanggan aneka rekaan yang mengikut trend semasa, dan disebabkan itulah (bunga malai di) kedai saya ini berubah-ubah bentuknya, kerana dihasilkan mengikut kehendak pelanggan,” kata peniaga di Brickfields ini kepada Bernama.
Jeysri berkata jenis bunga yang digunakan juga tidak terhad, malah pelanggan boleh memilih lebih daripada 11 jenis bunga untuk dijadikan kalungan, termasuk bunga mawar dan lili.
pic-3
Menurut wanita ini, permintaan terhadap bunga malai di kedainya melonjak dua kali ganda semasa musim perayaan.
“Setiap hari memang ada orang tempah bunga ini, cumanya pada musim perayaan jumlah akan melonjak hingga 1,000 unit berbanding hari biasa. Macam orang Melayu, biasanya mereka datang beli bunga malai untuk mandi bunga,” katanya.
“Bagi perkahwinan pula, pelanggan biasanya akan memilih bunga yang ada keharuman seperti baby’s breath dan unsur kemanisan buat mempelai seperti kelopak bunga mawar,” katanya yang menjual bunga malai pada harga serendah RM7 hingga ratusan ringgit.
Selva Rani, 63, turut mengambil langkah sama, menyuntik kesegaran pada produk bunga malai yang dihasilkannya, iaitu resipi kejayaan perniagaannya sejak 15 tahun lalu meskipun perlu bersaing dengan puluhan penjual bunga di Brickfields.
pic-4
Selain kalungan bunga, Selva Rani turut menghasilkan untaian dalam bentuk gelang tangan.
“Bunga malai dihasilkan ikut cita rasa masing-masing, tidak ada peraturan dari segi jenis dan jumlah bunga. Malah, kalau nak guna sejenis bunga pun boleh,” katanya, menambah pelanggan juga boleh memberi idea mereka sendiri dalam penghasilan bunga malai.
Mungkin ada yang menyangka kerja menguntai bunga itu tidak sukar, namun bagi S. Tulasi, 38, tugas tersebut memerlukan ketelitian serta tahap kesabaran yang tinggi.
“Untuk saiz biasa iaitu dua kaki (panjang), kita ambil masa 20 minit untuk siapkan. Kalau yang lebih besar, boleh makan masa satu jam. Jika tersalah susun pula kena buka balik untaian, dan ini akan memanjangkan lagi tempoh untuk siapkan kalungan,” katanya, menambah mereka akan buat semula bunga malai jika ada kuntum rosak.
“Biarpun sukar, saya minat dengan perniagaan bunga malai dan akan meneruskan bisnes legasi keluarga ini tanpa rasa jemu,” katanya.
-- BERNAMA