EKONOMI

Petronas Capai Keputusan Pelaburan Akhir Bagi Pembangunan Hidayah Indonesia

10/01/2025 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PC North Madura II Ltd, mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) bagi pembangunan medan Hidayah, Indonesia.

PC North Madura II ialah pengendali dengan 100 peratus kepentingan penyertaan dalam Perjanjian Kongsi Pengeluaran (PSC) itu.

Naib Presiden Aset Antarabangsa Huluan Petronas Mohd Redhani Abdul Rahman berkata FID bagi medan Hidayah di Kawasan Kontrak North Madura II, Jawa Timur, adalah satu pencapaian penting bagi syarikat minyak nasional itu di pasaran Indonesia.

“Pencapaian ini dibina berasaskan momentum penemuan minyak kami yang tinggi di Kawasan Kontrak North Madura II pada 2021, membuka laluan untuk kami melaksanakan peranan yang lebih strategik dalam menyokong keperluan tenaga yang semakin berkembang di rantau ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pelan pembangunan itu meliputi penggerudian telaga pengeluaran minyak, yang disokong oleh platform kepala telaga bersepadu dan pemprosesan pusat automatik.

Perkara itu turut termasuk unit Penyimpanan dan Pemindahan Terapung, dilengkapi dengan ruang kediaman dan bilik kawalan pusat untuk memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai.

Pada 9 Januari, PC North Madura II mengadakan pertemuan pihak berkepentingan peringkat tertinggi untuk projek tersebut, yang dihadiri oleh pihak berkepentingan utama Indonesia, termasuk Ketua SKK Migas, Djoko Siswanto.

Petronas kini mengendalikan PSC Ketapang, North Madura II, dan North Ketapang di luar pesisir Jawa Timur, serta PSC Bobara di luar pesisir Papua Barat.

Petronas juga ialah rakan usaha sama dalam lima PSC, merangkumi wilayah daratan dan luar pesisir Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur, serta Indonesia Timur.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy