JENAYAH & MAHKAMAH

Pengurus Insurans Rugi RM1.393 Juta Terperdaya Pelaburan Dalam Talian

10/01/2025 05:19 PM

JOHOR BAHRU, 10 Jan (Bernama) -- Seorang pengurus insurans mengalami kerugian RM1.393 juta selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan saham dalam talian, November lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata ia bermula apabila lelaki berusia 59 tahun itu menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Iris Ng’ dan menawarkannya untuk melabur dalam jual beli saham, dengan menjanjikan keuntungan 580 peratus dalam tempoh dua bulan.

Beliau berkata lelaki itu seterusnya diarah untuk memuat naik satu aplikasi bagi tujuan pendaftaran dan memantau akaun pelaburannya.

“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah melakukan 15 transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza berjumlah RM1,400,500 antara November tahun lepas hingga awal bulan ini.

“Setelah bayaran dibuat, semakan melalui aplikasi yang dimuat turun menunjukkan pelaburan yang dibuat telah mencatatkan keuntungan RM4.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata lelaki itu yang berasa teruja memutuskan untuk mengeluarkan keuntungan yang diperoleh, namun dia hanya menerima RM7,500 sahaja dan perlu membuat bayaran tambahan RM80,000 sekiranya mahu mengeluarkan keseluruhan keuntungan tersebut.

“Bagaimanapun dia tidak membuat bayaran yang diminta dan percaya dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam. Kerugian dialami berjumlah RM1,393,500,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah kesalahan tipu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA  

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy