AM

Jadual KTM Komuter Pelabuhan Klang-KL Sentral Dikurangkan 30 Minit Pada Waktu Puncak

10/01/2025 12:46 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Jadual kekerapan perkhidmatan bas dan tren komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) laluan Pelabuhan Klang-KL Sentral-Pelabuhan Klang dikurangkan 30 minit pada waktu puncak masing-masing mulai 17 Jan dan 20 Jan ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ini bagi mengimbangi kerja-kerja projek Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang 2 (KVDT2) selain menambah baik masa menunggu untuk pengguna laluan KTM Komuter bagi kedua-dua laluan tersebut.

“Untuk arah Pelabuhan Klang ke KL Sentral tren akan beroperasi pada kekerapan 30 minit pada waktu puncak pagi dan waktu lain akan digantikan dengan bas pada kekerapan 30 minit.

“Untuk arah KL Sentral ke Pelabuhan Klang pula tren akan beroperasi pada kekerapan 30 minit pada waktu puncak petang dan waktu lain akan digantikan dengan bas pada kekerapan 30 minit,” katanya dalam sidang media Pengumuman Perubahan Jadual Waktu KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang-KL Sentral-Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Merujuk kepada statistik taburan penumpang, beliau berkata berdasarkan sistem aplikasi KTMB Integrated Ticketing System (KITS), jumlah penumpang paling tinggi pada waktu pagi menuju ke Kuala Lumpur manakala jumlah penumpang paling tinggi dari KL Sentral menuju kembali ke Pelabuhan Klang adalah pada waktu petang.

Loke berkata penjadualan berdasarkan data itu dapat memastikan tren KTM ditumpukan kepada waktu jumlah penumpang yang tinggi manakala bas boleh memberi perkhidmatan pada waktu jumlah penumpang lebih rendah.

“Selain mengurangkan masa menunggu daripada 60 minit kepada 30 minit untuk pengguna, penjadualan bersepadu ini turut akan mengurangkan masa perjalanan keseluruhan tren antara Pelabuhan Klang dan KL Sentral hingga 15 minit. Kerja-kerja KVDT2 juga boleh dilaksanakan dengan lebih lancar pada waktu tren tidak beroperasi.

“Jadual baharu ini akan berkuat kuasa pada 20 Jan 2025, bagaimanapun perkhidmatan bas akan bermula seawal 17 Jan 2025 agar pengguna mempunyai masa untuk menyesuaikan diri,” katanya.

Selain itu, beliau berkata 22 unit bas perantara percuma akan disediakan bagi tempoh pelaksanaan projek KVDT2 meliputi laluan Subang Jaya-Batu Tiga-Shah Alam-Padang Jawa-Subang Jaya dan Subang Jaya-Bukit Badak (pergi balik).

Perkhidmatan bas percuma itu turut merangkumi laluan pergi balik bagi Subang Jaya-Klang, Subang Jaya-Teluk Gadong, dan Subang Jaya-Pelabuhan Klang.

“Kekerapan setiap bas adalah 30 minit bergantung kepada keadaan trafik. Waktu ketibaan bas akan dipaparkan di stesen KTM berkenaan untuk memudahkan perjalanan penumpang.

“Bagi laluan dari stesen KTM Abdullah Hukum hingga Subang Jaya, pengguna boleh menggunakan perkhidmatan bas sedia ada dan laluan LRT Kelana Jaya,” katanya.

Loke berkata penambahbaikan itu susulan maklum balas berkenaan kekerapan yang tidak memuaskan di laluan KTM Komuter KL Sentral-Pelabuhan Klang akibat terjejas oleh kerja-kerja KVDT2.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan dan KTM juga sentiasa mengalu-alukan sebarang maklum balas berkenaan inisiatif ini agar penambahbaikan berterusan boleh dilaksanakan.

Projek KVDT2 adalah inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan bagi menaik taraf infrastruktur dan landasan yang telah berusia lebih daripada 25 tahun bagi meningkatkan kecekapan serta menjamin keselamatan pengoperasian tren jangka panjang.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy