AM

Petugas Bernama Perlu Tambah Baik Perkhidmatan, Tingkat Kredibiliti - KPE

10/01/2025 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Warga kerja Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu melipatgandakan usaha dalam menambah baik perkhidmatan sekali gus meningkatkan kepercayaan dan kredibiliti Bernama.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata sebagai agensi berita rasmi tunggal Malaysia, Bernama perlu kekal relevan menjadi sumber berita yang diyakini semua pihak.

“Kita perlu mempertingkatkan usaha untuk terus menyalurkan berita dan maklumat secara sahih, tepat dan cepat sesuai dengan peranan kita sebagai agensi berita nasional. Kita juga perlu meningkatkan usaha untuk menyampaikan maklumat dengan mengutamakan integriti dan etika kewartawanan. 

"(Oleh) sebab itu, saya amat menyokong dan mahukan kesemua mereka yang terlibat sebagai pengamal media untuk mendukung Kod Etika Kewartawanan yang dilancarkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada tahun lepas,” katanya pada Majlis Perasmian Dewan Bernama dan Perhimpunan Warga Bernama 2025.

Turut hadir, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz dan Editor Eksekutif menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Shukri Ishak.

Nur-ul Afida berkata sebagai agensi kerajaan, Bernama berperanan mendukung aspirasi nasional dengan menyalurkan maklumat, berita dan kandungan berkaitan supaya rakyat memahami perkara yang dilaksanakan kerajaan sekali gus memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara terus terpelihara.

Beliau berkata pada tahun ini, Bernama diberi kepercayaan menjadi media rasmi dan pengendali Pusat Media Antarabangsa oleh Kementerian Luar bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia. 

Bernama juga bakal menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Lembaga Eksekutif Organisasi Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 16 hingga 19 Feb ini, iaitu penganjuran kali kedua pertubuhan itu serta penganjuran Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada Mei nanti. 

Sementara itu, beliau berkata pengurusan Bernama bersedia melabur dalam teknologi digital khususnya kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi keperluan audiens yang semakin bergantung pada platform dalam talian.

“Ia termasuk menyediakan sistem untuk MyCheck bagi semakan fakta, Aplikasi Mobile dengan AI personalisation serta projek Data Speak News bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) yang antaranya akan memantau sohor kini dan angka pengunjung portal dan media sosial Bernama.

“ … kita juga harus memanfaatkan media sosial, portal berita, dan aplikasi mudah alih untuk penyampaian maklumat dan berita dengan lebih efektif,” katanya.

Selain itu, Nur-ul Afida berkata Bernama berharap dapat mengukuhkan kehadiran di persada antarabangsa melalui kerjasama dengan agensi berita luar negara selain berharap dapat membuka kembali pejabat koresponden di negara ASEAN untuk memastikan Malaysia diwakili dengan baik dalam liputan berita global.

Beliau berkata pertubuhan itu juga berhasrat melatih dan memperkasakan bakat sedia ada di Bernama serta memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dalam kewartawanan digital, video, dan data.

“Bagi 2025, Pengurusan Bernama merancang 40 latihan dan kursus untuk membantu meningkatkan lagi kecekapan, kemahiran dan keupayaan petugas di semua jabatan dan bahagian.

“Oleh itu, saya menyeru semua warga Bernama agar mengambil peluang mengikuti kursus dan latihan ini, bukan kerana kewajipan memenuhi 40 jam berkursus, tetapi untuk memperkaya diri dengan ilmu pengetahuan yang sewajarnya. Janganlah dipersiakan peluang ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy