AM

Saifuddin Nasution Serah Kepada Pihak Berkuasa Siasat Dakwaan Melibatkan Anaknya

11/01/2025 11:18 AM

SEPANG, 11 Jan (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sepenuhnya ke atas kes ugutan jenayah yang didakwa melibatkan anaknya.

Beliau berkata semua rakyat Malaysia termasuklah anaknya tidak kebal daripada undang-undang.

"Anak saya tidak mengatasi undang-undang, kalau ada laporan ke atasnya, tanggungjawab polis untuk menyiasat setelusnya dan seadilnya. 

"Merujuk kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini, kertas siasatan sudah disempurnakan dan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

"Biarkan proses mengambil tempat tapi prinsip yang saya pegang adalah semua kita ini tidak kebal undang-undang, tidak mengatasi undang-undang termasuk anak saya sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi tinjauan Gate Kod QR MyBorderPass dan Sistem Smart Q Bersama Media di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Khamis lepas, Razarudin dilaporkan berkata polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah dikaitkan dengan anak seorang menteri seperti yang tular di laman media sosial dan siasatan kes itu sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Isnin lepas untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy