SEREMBAN, 11 Jan (Bernama) -- Kemenangan ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi dilihat mampu mengembalikan keyakinan pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
Justeru, Ketua Jurulatih NSFC K Nanthakumar berharap skuad kendaliannya itu terus mengekalkan momentum kemenangan sekali gus mengumpul lebih banyak mata dan memperbaiki kedudukan dalam liga.
“Saya gembira dan pemain patut dipuji kerana mereka telah bekerja keras di padang selepas lama tak menang, malam ini (malam tadi) menang dengan Sri Pahang FC iaitu satu pasukan yang bagus.
“Di awal babak permainan memang ada kesilapan gol sendiri oleh Aliyu Audu Abu Bakar tapi kita bangkit, saya beritahu mereka, kita kena menang, kena lawan, jadi kita dapat dua gol memang bagi kelebihan dan semangat untuk mereka berusaha hingga minit akhir,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.
Dalam perlawanan itu, NSFC menamatkan badi kemarau kemenangan di laman sendiri dengan menewaskan skuad Tok Gajah 2-1 hasil jaringan pemain import Hein Htet Aung pada minit ke-44 dan Selvan Anbualagan pada minit ke-59.
Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC Fandi Ahmad mengakui pasukannya kurang kerjasama dan tidak menguasai posisi bola dengan baik hingga terpaksa akur dengan kekalahan di tangan NSFC biarpun mendahului pada awal permainan.
“Mereka terlalu perlahan tak dapat menguasai bola dan kemahuan tak ada, pemain tak dapat simpan dan banyak buang bola, mereka juga kurang prestasi...peluang menang memang ada tapi hari ini bukan hari kita, memang hak milik NSFC.
“Kemahuan NSFC untuk menang sangat tinggi, dari mula mereka sudah tunjukkan kehendak untuk menang dan mereka bermain lebih baik,” katanya dan menambah akan lakukan yang terbaik dalam perlawanan akan datang.
NSFC kini menghuni tangga ke-12 liga dengan sembilan mata manakala Sri Pahang FC di kedudukan ke-10 dengan 15 mata.
-- BERNAMA