AM

PM Anwar Seru Rakyat Tumpu Perkara Bantu Malaysia Jadi Negara Hebat

11/01/2025 03:39 PM

GEORGE TOWN, 11 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengajak rakyat menumpukan kepada hal utama yang dapat membantu Malaysia menempa sejarah dan diangkat sebagai negara hebat di rantau ini.

Beliau berkata rakyat tidak seharusnya termakan dengan hasutan pihak tertentu yang pastinya tidak akan menguntungkan sesiapa, malah akan menyebabkan negara mundur.

“Saya percaya Malaysia akan menempa sejarah dan terangkat sebagai negara hebat di rantau ini, jadi kita nak ajak rakyat untuk tumpu hal-hal yang besar, bukan soal video pelancongan yang tak nampak gambar masjid sudah jadi pertarungan hebat, (sebaliknya) berilah cadangan (untuk) kita baiki.

“Hal-hal ini dibawa untuk meretakkan hubungan kita dan memainkan sentimen kebencian antara satu sama lain, (sepatutnya) kita boleh kita tumpu soal LRT (Transit Aliran Ringan), soal pembangunan Pulau Pinang,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di Tapak Stesen LRT Bandar Sri Pinang, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata rakyat seharusnya melihat usaha yang dilaksanakan kerajaan demi kepentingan dan manfaat mereka.

Anwar berkata hal ini termasuklah pembinaan LRT Laluan Mutiara, pembesaran Lapangan Terbang Antrabangsa Pulau Pinang (PIA), menaik taraf pengangkutan awam di Lembah Klang dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ) di Johor.

Sementara itu, beliau berkata negara kini sedang menarik perhatian pemimpin dunia dan serantau selepas mula melaksanakan dasar Kerangka MADANI.

Beliau berkata lawatan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan terbaharu, Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba ke Malaysia membuktikan negara berada di landasan yang tepat.

Dalam pada itu, Anwar meminta ketua-ketua jabatan untuk tidak hanya menjadi pelaksana, sebaliknya bersama-sama membantu ketua menteri dan menteri dengan memberikan hujah atau cadangan bagi memperbaik isu berkaitan soal pembangunan.

Terdahulu, Anwar merasmikan majlis pecah tanah LRT Laluan Mutiara yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Projek LRT Laluan Mutiara meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km), merangkumi 21 stesen di lokasi-lokasi yang strategik, termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A).

Dijangka beroperasi pada 2031, LRT Laluan Mutiara itu juga menyaksikan sambungan stesen terminus dari KOMTAR ke Penang Sentral, meningkatkan kesalinghubungan penduduk di kedua-dua belah Selat Pulau Pinang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy