JENAYAH & MAHKAMAH

Juruteknik Rugi RM444,967 Terjerat Tawaran Kerja Dalam Talian

12/01/2025 11:02 AM

IPOH, 12 Jan (Bernama) -- Seorang juruteknik kerugian RM444,967 selepas terperdaya penipuan pekerjaan atau 'job scam' secara dalam talian pada November lepas.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata lelaki warga tempatan berusia 42 tahun itu pada 21 Nov semasa berada di rumahnya telah melayari laman sosial Facebook dan berminat dengan satu iklan pekerjaan dalam talian.

Beliau berkata mangsa tertarik dengan komisen yang ditawarkan dan kemudian berurusan dengan seorang suspek lelaki menerusi aplikasi WhatsApp.

Zulkafli berkata suspek memberi tugasan supaya mangsa membuat bayaran harga barang yang diberikan terlebih dahulu dengan nilai berbeza bermula jumlah kecil sehingga puluhan ribu dan dijanjikan akan menerima semula wang serta komisen antara empat hingga 10 peratus daripada nilai bayaran yang telah dibuat.

"Pengadu seterusnya membuat beberapa transaksi pindahan wang secara dalam talian ke 10 akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM444,967. Pengadu menyedari dirinya ditipu apabila sehingga kini belum menerima bayaran komisen seperti dijanjikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lepas di Ipoh selepas menyedari dirinya tertipu.

Justeru, Zulkafli mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan pelbagai, selain menyeru masyarakat tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan menarik atau memerlukan bayaran pendahuluan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy