MIRI, 12 Jan (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan dua sindiket penipuan susulan penahanan 11 individu termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di sini pada 8 dan 10 Jan lepas.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata dalam serbuan pertama di pusat komersial Boulevard, dua lelaki tempatan berusia 34 dan 46 tahun ditahan kerana dipercayai merekrut orang ramai sebagai keldai akaun.
“Polis turut merampas sebuah kereta, tujuh telefon pintar pelbagai jenama, 44 kad ATM, 29 kad sim, dua beg dan wang tunai berjumlah RM32 serta buku nota mengandungi nombor akaun bank,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Alexson berkata dalam serbuan kedua Jumaat lepas, polis menahan sembilan individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun di sebuah rumah di Taman Bayshore.
Beliau berkata dalam operasi itu, polis turut merampas antaranya 20 telefon pintar, dua komputer, dua komputer riba dan tablet di samping tujuh set dokumen mengandungi maklumat mangsa serta skrip yang digunakan ketika menyamar sebagai anggota pihak berkuasa.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini beroperasi sejak Nov 2024 dan terlibat penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai pegawai polis dan anggota Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
“Suspek diberikan skrip untuk dihafal dan dilatih bagaimana untuk menipu mangsa,” katanya dan memaklumkan mereka direkrut melalui media sosial dengan ditawarkan pekerjaan sebagai operator.
Beliau berkata nilai rampasan dalam operasi pertama dan kedua masing-masing berjumlah RM40,000 serta RM30,000 dan kesemua suspek kini ditahan reman dengan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA