KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Bagi mencari sesuatu yang lebih segar dan berbeza, Datuk Aaron Aziz mengakui beliau kini lebih hati-hati dalam memilih watak yang mahu dilakonkannya.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Aziz Mustapha, 48, yang terkenal dengan watak romantik dan aksi, berkata ini kerana sudah tiba masa untuk beliau beralih daripada watak-watak stereotaip yang sering kali ditawarkan kepadanya.
“Cukuplah, saya tak nak lagi ambil watak klise seperti orang kaya berkahwin dengan wanita kampung, suamiku jiranku dan yang seumpamanya. Begitu juga dengan watak yang ada unsur keganasan. Tidak mahu lagi (sebab) dah terlalu sterotaip, seperti (watak dalam filem) KL Gangster
“Walaupun saya masih lagi menerima (tawaran) watak sebegitu, saya akan berbincang dengan pengarah dan penerbit untuk mengubah pendekatan, sama seperti bereksperimen dengan watak tersebut,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.
Sementara itu, Aaron berkata industri hiburan kini menghadapi cabaran besar kerana perlu berdepan dengan peningkatan kualiti kandungan yang ditawarkan oleh platform perkhidmatan media over-the-top seperti Netflix dan media sosial.
pic-2
“Perubahan ini memberi impak yang sangat besar terhadap standard lakonan dan jalan cerita, dengan penonton kini lebih terdedah kepada naskhah luar yang berkualiti tinggi, terutamanya dari Korea Selatan.
“Apabila penonton sudah terbiasa dengan standard tinggi, mereka mengharapkan drama kita juga mempunyai kualiti yang serupa. Selain itu, saya juga perlu mencari watak yang lebih bersesuaian dengan usia,” katanya.
Sementara itu, mengulas watak Din Tiger yang dibawanya dalam drama bertajuk sama arahan Datuk Afdlin Shauki, beliau berkata watak tersebut berbeza dengan karakter yang pernah dilakonkannya sebelum ini.
"Din Tiger bukan seorang fighter. Saya lihat watak ini sebagai satu cabaran kerana dia perlu menang dengan menggunakan otaknya (akal fikiran). Walaupun (masih) ada beberapa babak aksi, saya kena pastikan (babak itu) tidak terlalu dominan dalam cerita ini," katanya.
Din Tiger mengisahkan jenayah penipuan atau scam dan disiarkan menerusi Degup HD, Unifi TV sejak 6 Jan lalu.
Drama bersiri itu turut dibintangi Afdlin, Mia Sara Shauki, Datin Seri Nina Juren, Josiah Hogan, Ako Mustapha, Tony Eusoff dan Adam Corrie Lee.
-- BERNAMA