DUNIA

UNA, MWL Tandatangan Memorandum Tingkat Kesedaran Hak Kanak-kanak Perempuan

13/01/2025 03:30 PM

ISLAMABAD, 13 Jan (Bernama-UNA) -- Kesatuan Agensi Berita Pertubuhan Kerjasama Islam (UNA) dan Liga Dunia Islam (MWL) telah menandatangani memorandum kerjasama pada Ahad, bertujuan melancarkan kempen media bagi meningkatkan kesedaran tentang hak kanak-kanak perempuan untuk mendapatkan akses kepada pendidikan, lapor UNA.

Memorandum itu juga antara lain bertujuan untuk menyelaraskan usaha antara kedua pihak dalam mengukuhkan tindakan bersama antara agensi-agensi berita dan saluran media di negara-negara Islam mengenai isu berkenaan.

Majlis menandatangani memorandum itu berlangsung semasa persidangan global bertajuk "Pendidikan Kanak-Kanak Perempuan dalam Komuniti Muslim: Cabaran dan Peluang," yang dianjurkan oleh kerajaan Pakistan dan diselaraskan oleh MWL di Islamabad, dengan penyertaan luas daripada organisasi serantau dan antarabangsa.

UNA diwakili Ketua Pengarahnya Mohammed Abd Rabbo Al-Yami, manakala MWL diwakili oleh Kaunselor Abdul Karim Bakhsh.

Memorandum ini adalah sebahagian daripada platform perkongsian antarabangsa yang dilancarkan oleh persidangan "Pendidikan Kanak-Kanak Perempuan dalam Komuniti Muslim," bertujuan untuk mentransformasikan hasil persidangan menjadi inisiatif praktikal dan projek-projek konkrit untuk menyokong pendidikan wanita dan kanak-kanak perempuan.

-- BERNAMA-UNA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy