PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memperoleh pelepasan sementara pasportnya dari Mahkamah Rayuan bagi membolehkannya ke Singapura dan Kota Kinabalu, Sabah.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq, membuat permohonan itu di hadapan panel hakim mahkamah itu, hari ini.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin membenarkan permohonan itu, selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Asraf Mohamed Tahir tidak membantah.
Dalam permohonan itu, Syed Saddiq, 32, menyatakan perlu menghadiri simposium bertajuk “Youth and Civic Engagement” di Singapura pada 21 Jan ini manakala akan menghadiri perkahwinan seorang rakan baik di Kota Kinabalu pada 22 Jan.
Syed Saddiq memaklumkan beliau akan kembali ke Kuala Lumpur pada 25 Jan dan memulangkan pasport kepada mahkamah pada 27 Jan ini.
Syed Saddiq turut diwakili peguam Low Wei Loke dan Jonas Ee.
Pada 9 Nov 2023, Syed Saddiq dihukum penjara tujuh tahun dengan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, penyelewengan dana dan pengubahan wang haram.
Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada hari yang sama.
Bekas Menteri Belia dan Sukan dari 2018 hingga 2020 itu didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.
Syed Saddiq juga berhadapan dua pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dipercayai hasil aktiviti haram, daripada akaunnya Maybank Islamic Bhd ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan. Mahkamah Rayuan dijadualkan mendengar rayuannya pada 19 dan 20 Mac ini.
-- BERNAMA