GEORGE TOWN, 13 Jan (Bernama) – Kementerian Digital sedang merangka pelbagai inisiatif strategik dengan memberi tumpuan terhadap pemerkasaan penggunaan teknologi digital dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) supaya ia bergerak seiring dengan pelan transformasi digital negara.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata inisiatif tersebut antara lain bertujuan mengatasi jurang penggunaan digital dalam kalangan perniagaan kecil dan sederhana seterusnya memastikan peranan mereka kekal relevan dalam ekonomi moden yang dipacu oleh teknologi.
Beliau berkata ini kerana sektor berkenaan memainkan peranan cukup penting apabila menyumbang 97 peratus kepada jumlah perniagaan di negara ini, selain turut menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).
“Saya yakin semua faham pentingnya teknologi bagaimana ia boleh memperkasakan, perkuatkan, mengukuhkan lagi perniagaan-perniagaan kita, tapi soalnya adakah kita menggunakan teknologi? Ramai yang mempunyai pengetahuan berkenaan teknologi, tapi mereka masih belum menggunakannya.
“Ini menjadi satu aspek yang kita kena lihat. Jadi kerajaan sekarang melihat kepada inisiatif yang boleh kita anjurkan untuk memastikan bahawa setiap perniagaan ini melihat kepada teknologi digital bagaimana mereka boleh mengadaptasikannya dalam perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog Ekslusif Mengenai Penggunaan Digital untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana di Pulau Pinang di Ibu Pejabat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Zon Utara di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo.
Gobind berkata sesi dialong berkenaan antara lain bertujuan mengenal pasti cabaran utama dan mendapatkan maklum balas langsung daripada penggiat industri yang diadakan dengan kerjasama MDEC.
Beliau berkata sebagai langkah strategik, MDEC turut membuka pejabatnya di Pulau Pinang dan ia akan menjadi pusat utama untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana merangkumi beberapa aspek antaranya dari segi penyediaan bantuan khusus kepada perniagaan yang memerlukan panduan dan sokongan teknikal.
Gobind berkata MDEC turut berperanan sebagai pengantara untuk menangani isu seperti bakat dan cabaran lain yang dihadapi oleh perniagaan disamping turut berperanan dalam memberikan pandangan kepada perniagaan tentang bagaimana teknologi dapat memperkasakan dan memperkukuhkan operasi mereka.
-- BERNAMA