AM

Permintaan Kepada Tebu Melonjak Sejak Seminggu Lepas Menjelang Ketibaan Ponggal

13/01/2025 08:52 PM

Oleh Previnna Thuraisingam

 

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Menjelang sambutan pesta menuai kaum India, atau dikenali sebagai sambutan Ponggal esok, permintaan untuk tebu, bahan utama sebagai hiasan bagi sambutannya, terus melonjak sejak seminggu lepas 

Masyarakat India dilihat berlumba-lumba untuk menyediakan rumah mereka dengan batang tebu, bagi melengkapkan sambutan.

Pengarah Diamoniq Enterprise K.Kasturi, 30, berkata permintaan pelanggan terhadap tebu pada musim Ponggal ini dilihat lebih tinggi berbanding tahun lepas, melonjak kepada kira-kira 2,600 batang.

“Kami menjual hampir semua tebu yang dituai dari tapak ladang kami di Klang dan telah mencapai sasaran bilangan batang yang dirancang untuk dijual.

"Tahun ini kami ada pelanggan dan penjual tebu individu dari Selangor, Seremban dan Johor, yang ambil tebu-tebu kami," katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas keadaan cuaca yang tidak menentu, Kasturi yang menjalankan perniagaan keluarganya itu berkata ia menampilkan cabaran yang besar untuk mengekalkan kualiti tanah pada musim hujan ini dalam usaha menghasilkan tanaman tebu yang sihat.

Sementara itu seorang petani berskala kecil di Sekinchan, Selangor, M.Nathan, 55, berkata kemunculan ramai usahawan yang berminat menjual tebu pada musim Ponggal ini amat menguntungkannya.

"Ramai yang membelinya daripada kami di sini secara pukal, menambahkan lagi kesibukan dalam sambutan Ponggal ini. Mereka menunjukkan minat yang lebih tinggi tahun ini berbanding tahun lepas," katanya dan menambah kebanyakan pelanggannya adalah dari pusat bandar, Klang dan Seremban.

Nathan berkata beliau telah menjual 900 batang tebu Ponggal ini, menggunakan hanya sebahagian kecil tanaman di ladangnya, dan beliau merancang untuk menanam lebih banyak tanaman tahun depan, namun katanya musim hujan telah menghalang pertumbuhan tanamannya, yang boleh membesar sehingga mencapai ketinggian 12 kaki.

"Bercakap mengenai harga tebu, memang berlaku kenaikan sejak kebelakangan ini. Sejak lima tahun lepas, sebatang tebu boleh dibeli dengan harga RM2.50, sedangkan sekarang dijual pada harga RM3 sebatang," katanya.

Sementara itu pemilik Thuveshana Cash and Carry di Selangor, Lalitha Arjunam, 42, berkata kedainya hanya mengambil 100 batang tebu setiap tahun bagi mengelak pembaziran akibat terlalu banyak stok.

"Kami hanya mendapatkan jumlah itu sahaja setiap tahun kerana terdapat banyak ladang berhampiran, dan orang ramai juga boleh mendapatkannya dari situ," katanya.

"Selain itu tebu tidak kekal segar lama. Apabila daunnya kering, kami tidak boleh menjualnya lagi pada keesokan harinya. Kami biasanya menerima bekalan segar batang tebu pada pagi Bhogi, hari pertama Ponggal, supaya ia bertahan selama dua hari," katanya.

Beliau juga berkata masyarakat India di negara ini amat tebal dengan amalan tradisi yang tetap memerlukan batang tebu untuk melengkapkan sambutan musim menuai itu.

Sebatang tebu yang sederhana mempunyai kepentingan yang signifikan terhadap masyarakat India semasa perayaan musim menuai mereka yang dikenali sebagai Ponggal, menandakan kemakmuran dan kesejahteraan untuk tahun hadapan.

Semasa perayaan itu, simboliknya tebu dipersembahkan kepada Dewa Matahari sebagai tanda kesyukuran kerana kejayaan menuai hasil yang melimpah-ruah, dan ia juga digunakan sebagai hiasan dalam rumah.

Ponggal dianggap sebagai perayaan kesyukuran dan tanda terima kasih kepada Tuhan kerana membantu petani mendapatkan hasil tanaman yang lebih baik.

Ia disambut pada hari pertama bulan Tamil yang dipanggil Thai yang dianggap sebagai bulan bertuah yang biasanya pada bulan Januari setiap tahun.

Perayaan empat hari itu dimulakan dengan 'Bhogi,' hari yang didedikasikan untuk introspeksi yang dilambangkan dengan membakar barangan rumah yang lama dan tidak lagi digunakan.

Ia diikuti dengan Thai Ponggal, yang menyaksikan hidangan nasi manis (Ponggal) disediakan dalam periuk tanah liat tradisional sebagai persembahan kepada Dewa Matahari, bagi menyatakan rasa syukur atas hasil tuaian yang melimpah-ruah.

Pada hari ketiga, 'Mattu Ponggal,' diraikan sebagai hari kesyukuran kepada haiwan lembu yang dipercayai menyumbang kepada penuaian yang berjaya, manakala hari penutup 'Kanni Ponggal,' menyaksikan wanita yang belum berkahwin membuat Ponggal sambil berdoa untuk mendapatkan suami yang baik.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy