GEORGE TOWN, 13 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berkata pemantauan harian penguat kuasanya mendapati kebanyakan harga barang berada pada tahap stabil.
Pengarahnya S.Jegan berkata pegawai penguat kuasa KPDN Pulau Pinang melakukan pemeriksaan secara harian di pasar awam, pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan pasar raya bagi memastikan harga barangan sentiasa terkawal dan peniaga tidak menaikkan harga.
Beliau berkata pemantauan terus ditingkatkan susulan laporan aduan daripada Persatuan Hindu Pulau Pinang berhubung harga barangan keperluan asas tertentu yang dikatakan meningkat mendadak di negeri itu.
"Pemantauan secara harian itu turut membabitkan tomato, bawang putih, buah pelaga, santan, bijan hitam dan kelapa biji yang dirujuk oleh persatuan itu, dan pemantauan dibuat oleh pegawai pemantau harga KPDN setiap hari.
"Hasil pemantauan ke atas 45 pasar awam, 13 pasar raya besar dan 18 pasar raya dilaksanakan di seluruh negeri hari ini mendapati kedudukan harga masih berada pada tahap yang stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jegan berkata berdasarkan pemantauan, harga tomato Cameron Highlands di tiga pembekal utama rata-rata harga borong adalah antara RM2 hingga RM5.30 sekilogram bergantung kepada keadaan cuaca yang tidak menentu kini, manakala purata harga runcit sejak Oktober hingga Januari RM4.51 hingga RM6.41 sekilogram.
Beliau berkata pemantauan di empat pengimport utama bawang putih dari China pula mendapati harga borong antara RM3.80 hingga RM4 manakala purata harga runcit dari Oktober hingga Januari ialah RM12.93 hingga RM13.06 bagi setiap kilogram.
Jegan berkata purata harga runcit buah pelaga bagi tempoh sama ialah RM195.84 hingga RM205.45 manakala santan pula RM11.44 hingga 14.61 bagi setiap kilogram.
"Pemantauan ke atas empat pengimport utama kelapa rata-rata menyatakan kenaikan harga kelapa adalah disebabkan oleh kenaikan harga dari Indonesia kerana bekalan diimport dari sana dan terdapat permintaan yang tinggi dari Thailand menyebabkan harga yang diterima di Pulau Pinang adalah tinggi iaitu purata RM 2.73 sebiji sehingga RM3.31 sebiji sejak Oktober hingga Januari.
"Pihak kami mempergiatkan kerjasama bersama pemain industri seperti FAMA (Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan) dan yang lain bagi memastikan harga barangan kelapa sentiasa mencukupi di pasaran," katanya.
-- BERNAMA