JAKARTA, 14 Jan (Bernama) -- Banjir yang disebabkan oleh hujan lebat melanda beberapa wilayah di Sumatera, Indonesia, termasuk Aceh, Sumatera Utara dan Riau, menjejaskan 1,943 orang, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.
Di Aceh, banjir menjejaskan 78 rumah pada Isnin akibat limpahan sungai di Pante Bidari, timur Aceh, susulan hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lepas.
"Setakat ini, paras air di Pante Bidari terus meningkat," kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari dalam satu kenyataan pada Selasa, sambil menggesa orang ramai untuk terus berwaspada.
Di Sumatera Utara, banjir turut melanda beberapa kawasan, termasuk Bandar Binjai dan Bandar Medan.
Di Binjai, hujan lebat menyebabkan sungai Bangkatan, Binjai dan Mencirim melimpah, mengakibatkan banjir dengan paras air antara 20 hingga 100 sentimeter di Rambung Barat, Binjai Selatan.
"Kira-kira 807 orang terjejas dan 169 rumah dimasuki air. Banjir mula surut pada malam Isnin," kata Abdul Muhari.
Di Bandar Medan, 680 orang di Marelan dan Belawan terjejas, dengan paras air antara 20 hingga 130 sentimeter, memaksa penduduk sama ada kekal di rumah mereka atau berpindah ke kawasan yang lebih selamat.
Di Riau, banjir turut melanda Kampar akibat limpahan Sungai Subayang pada pagi Isnin, menjejaskan 456 orang serta sebuah kemudahan pendidikan dan 180 rumah terjejas.
"Akses jalan terhalang, menyebabkan motosikal dan kereta tidak dapat melalui, manakala penduduk memilih untuk tinggal di rumah mereka," kata Abdul Muhari.
-- BERNAMA