AM

Banjir Di Johor Beransur Pulih, Pahang Tidak Catat Perubahan Ketara, Perak Kekal

14/01/2025 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Keadaan bajir di Johor beransur pulih dengan pengurangan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) dan Perak tidak menunjukkan perubahan manakala Pahang merekodkan sedikit peningkatan. 

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 1,860 orang setakat 4 petang ini berbanding 2,498 orang yang direkodkan pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa daripada 537 keluarga itu ditempatkan di 17 PPS di empat daerah terjejas. 

"Sebanyak 13 PPS telah ditutup berikutan banjir di kawasan mereka telah surut sepenuhnya dan mangsa terlibat dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Selain itu, daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,016 orang, diikuti Kluang (410), Pontian (381) dan Johor Bahru pula kekal 53 orang," katanya.

Menurut Azmi, hanya stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dilaporkan melepasi paras bahaya dengan bacaan 14.54 meter (m) (trend menurun).

Beliau berkata daerah Johor Bahru, Pontian, Kluang dan Kulai diramalkan hujan, sementara Segamat serta Batu Pahat mendung, diikuti Muar, Mersing, Kota Tinggi dan Tangkak dijangka cerah petang ini.

Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan susulan dinaiki air banjir dan tiada jalan alternatif, katanya.

Di PAHANG, aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan penambahan mangsa di Rompin petang ini, melibatkan 186 mangsa daripada 43 keluarga berbanding 184 orang daripada 42 keluarga pagi tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di Balai Raya Kampung Jawa, Rompin melibatkan penduduk Kampung Pantai 3 dan 4 serta Kampung Jawa.

Di PERAK, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir petang ini di daerah Manjung masih kekal 31 orang daripada sembilan keluarga. 

Sekretariat itu memaklumkan kesemua mangsa terbabit berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas sejak 9 Jan lepas merupakan penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak pula memaklumkan paras air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada paras berjaga-jaga iaitu 165.44m berbanding paras normal 165.10m manakala paras air Sungai Perak di Pasang Api, Bagan Datuk berada pada 1.99m berbanding 1.0m.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy