Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid and Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Teknologi ketepatan, robotik, pendigitalan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) menjadi resepi utama yang akan membolehkan Malaysia mencapai kendiri makanan, terutamanya dalam pengeluaran beras berikutan cabarannya dalam peningkatan kos dan ketidakcekapan pengeluaran.
Pakar keselamatan makanan, Datin Paduka Prof Fatimah Mohamed Arshad berkata kemunculan robotik, ketersambungan dan teknologi, di samping alat serta aplikasi digital, menawarkan potensi besar untuk mengubah pertanian.
Dalam satu temu bual berikutan kemunculannya di program The Nation: Bernama TV yang dihoskan oleh Elane Abdullah semalam, beliau menekankan produktiviti makanan Malaysia sedang merosot, ini menjejaskan keselamatan makanan negara.
Fatimah, yang juga merupakan Felo Penyelidik di Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan di Universiti Pertanian Malaysia ketika menyentuh mengenai penanaman padi menjelaskan walaupun kajian makmal mengunjurkan hasil sebanyak enam sehingga lapan tan sehektar, “masalah struktur dan perubahan iklim menghalang kita daripada membuat pencapaian ini”.
“Oleh itu, Malaysia memerlukan R&D yang mantap, sokongan kerajaan, pembangunan infrastruktur dan campur tangan yang tepat pada masanya.
“Dengan kemunculan robotik, ketersambungan, teknologi serta alat digital, kita mesti membangunkan aplikasi dan instrumen bagi melonjakkan kecekapan termasuk mengurangkan kos untuk meningkatkan pengeluaran,” katanya.
Fatimah berkata Malaysia amat bergantung kepada import untuk hampir semua barangan pertanian, termasuk baja, racun perosak, racun rumpai, jentera dan juga penuai padi, yang sebenarnya adalah penuai gandum berusia 20 tahun dari Belanda.
“Ia tidak direka untuk penuaian beras, ini menjadikan produktiviti tidak cekap, terutamanya apabila digunakan di ladang kecil,” katanya lagi.
Pakar keselamatan makanan itu menekankan akibat terlalu bergantung pada input pertanian yang diimport, ditambah pula dengan inflasi global serta gangguan rantaian bekalan, ini telah menyebabkan sistem pengeluaran makanan Malaysia terdedah.
“Apabila anda mengimport, anda juga membawa masuk inflasi,” katanya sambil menunjukkan bagaimana peningkatan kos input telah memberi kesan kepada keupayaan pengeluaran petani tempatan.
Import makanan pada 2024 dijangka lebih tinggi daripada RM78.7 bilion yang diimport pada 2023 dan RM75.6 bilion semasa 2022.
Kenaikan bil import bagi tahun lepas telah didorong oleh tekanan inflasi, kos bahan api termasuk ketidaktentuan global yang berterusan, selain konflik geopolitik dan cabaran perubahan iklim.
Beliau berkata import makanan utama Malaysia merangkumi beras, sayur-sayuran, buah-buahan, daging, produk ikan dan susu.
Fatimah melahirkan kebimbangan bahawa pencapaian Malaysia dalam keselamatan makanan boleh dikategorikan sebagai “sederhana” tetapi agak lemah dalam daya tahan terhadap krisis untuk kebanyakan makanan, terutamanya selepas pandemik Covid-19.
“Malaysia sewajarnya mengatur halamannya dengan fokus yang jelas ke arah meningkatkan prestasi keselamatan makanan,” katanya.
Pengurangan dalam import dan pencapaian sara diri serta keselamatan makanan adalah amat kritikal.
Katanya, pengalaman lepas telah menunjukkan bahawa “apabila krisis melanda, setiap negara hanya akan menanggung diri mereka sendiri”, ini bermakna negara lain akan mengutamakan keselamatan kewangan mereka sendiri sebelum keselamatan jiran mereka.
Faktor lain yang merugikan Malaysia termasuk lonjakan import makanan, yang telah menggandakan defisit makanan, dengan mengambil kira permintaan yang lebih tinggi berbanding bekalan dan import pertanian, yang terus menokok dan mahal.
Dengan membuat perbandingan dengan China, Vietnam dan India, yang telah memajukan pengeluaran makanan mereka, pakar keselamatan makanan tersebut memberitahu Malaysia perlu belajar banyak daripada kejayaan mereka.
Beliau turut memetik China, yang telah memanfaatkan pertanian pintar dan R&D moden untuk mencapai hasil padi yang mengagumkan sehingga 15 tan sehektar.
Fatimah menambah Malaysia juga harus belajar daripada India, yang mana dalam tempoh 10 tahun, ia telah beralih daripada ekonomi bakul ke 'bakul makanan dunia' dengan menerima teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), terutamanya melalui pemula niaga tani.
-- BERNAMA