EKONOMI

Malaysia Perlu Wujud Sinergi Antara Kerajaan Negeri, Sektor Swasta, Teknologi - Liew

14/01/2025 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu mula mempertimbangkan kewujudan sinergi antara kerajaan negeri, sektor swasta dan teknologi, yang akan membolehkan lebih banyak perolehan teknologi dalam sistem kerajaan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata industri semikonduktor adalah bidang yang diberikan tumpuan oleh kerajaan.

“Kita berhasrat melihat Malaysia bukan sahaja (terlibat) dalam pemasangan dan ujian semikonduktor sumber luar. Kita mahu Malaysia meningkat dalam rantaian bekalan, sekurang-kurangnya sebagai (pihak) yang sangat diperlukan.

"Kita mungkin tidak berupaya menyediakan dan mencipta teknologi seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea atau Taiwan, tetapi kita berhasrat untuk berada dalam kedudukan yang hampir setara," katanya pada sesi panel empat Bengkel Pembangunan Lestari ASEAN (AWSD) 2025 di Sunway University di sini hari ini.

Sesi bertajuk "Pengurusan Ekonomi Transformatif untuk Malaysia MADANI dalam Ketegangan Dunia Politik dengan Ancaman Krisis Alam Sekitar" itu turut disertai Felo Kehormat Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDSN) Asia Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Naib Presiden UN-SDSN Asia Datuk Dr Woo Wing Thye sebagai penceramah.

Menurut Liew Malaysia boleh memainkan peranan yang diperlukan dalam rantaian bekalan terutama dalam rantaian bekalan semikonduktor serta mewujudkan banyak harta intelek dan membangunkan banyak lagi teknologi buatan Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

"Oleh itu, kita memerlukan dasar industri. Kita tidak boleh hanya mengikut idea neoliberal bahawa pasaran mengetahui segalanya. Kita juga memerlukan sebuah negara yang lebih berguna, sebuah kerajaan yang menyediakan perkhidmatan awam untuk rakyat," katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata terdapat beberapa cabaran dalam mencapai objektif MADANI.

"Pada masa ini, kita berada pada kedudukan ke-36 antara ekonomi terbesar di dunia. Sasaran kita adalah untuk berada dalam kelompok 30 teratas dalam masa 10 tahun.

Menurut beberapa penganalisis, untuk mencapai matlamat ini, kita perlu berkembang sekurang-kurangnya 2.0 peratus lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan semasa, yang tentunya adalah satu cabaran sukar," katanya.

Walaupun mempunyai visi dan agenda besar adalah penting, Mustapa berkata kerajaan juga perlu memberikan perhatian kepada aspek yang lebih kecil dalam kehidupan seharian.

"Bagi menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia, kita perlu mencapai kadar pertumbuhan lebih 5.0 peratus. Ia bukanlah sesuatu yang sukar, tetapi memerlukan usaha yang konsisten dan kestabilan fiskal yang mampan. Memastikan lebihan belanjawan setiap tahun perlu kekal menjadi fokus utama.

"Oleh itu, menyelesaikan perspektif yang lebih luas adalah penting, tetapi pada masa depan, pengurusan ekonomi juga perlu memberikan perhatian kepada isu-isu harian yang berkaitan dengan kehidupan rakyat," katanya.

Mengambil contoh isu terkini mengenai insurans perubatan, Mustapa berkata perkara berkenaan menekankan keperluan dasar yang bukan sahaja mampan malah inklusif.

"Penting untuk kita, sebagai sebuah negara untuk memastikan bahawa pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Walaupun kita telah melaksanakan kemajuan yang ketara dalam menangani kemiskinan tegar, masih terdapat ramai golongan kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan.

"Oleh itu, pengurusan ekonomi bukan sekadar mengenai matlamat besar; ia berkenaan menangani kos sara hidup dan memastikan bahawa isu kecil berkaitan kehidupan seharian tidak diabaikan," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy