SUKAN

Malaysia Berhasrat Anjur Atbc 2028

14/01/2025 04:59 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Malaysia menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) edisi 2028.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok mengesahkan bahawa Persekutuan Boling Asia (ABF) telah dimaklumkan mengenai hasrat Malaysia pada September lepas.

“Kami masih belum menerima sebarang maklum balas daripada ABF, saya percaya keputusan ini tidak akan dibuat dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Malaysia telah menjadi tuan rumah ATBC sebanyak dua kali, pada 1972 dan 1986.

Maradona berkata sekiranya Malaysia dipilih menjadi tuan rumah acara itu pada 2028, ia akan menjadi kejohanan boling terbesar yang pernah diadakan di negara ini sejak Kejohanan Dunia pada 2003.

“Matlamat kami adalah untuk membawa acara besar ke Malaysia setiap tahun untuk menaikkan profil sukan ini dan mempromosikan negara,” katanya.

Walaupun mempunyai kemampuan kewangan untuk menganjurkan ATBC, Maradona berkata mereka masih perlu mendapatkan penaja untuk pertandingan itu.

Pada edisi terakhir ATBC di Bangkok, Malaysia mencipta sejarah dengan meraih kutipan pingat yang paling berjaya dalam sejarah 54 tahun kejohanan berkenaan, memenangi lapan pingat emas, lima perak dan empat gangsa.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Kejohanan Tenping Boling Belia Asia pada Ogos ini diikuti Kejohanan Boling Belia Dunia di Sarawak tahun depan.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy