PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

14/01/2025 10:02 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives diniagakan lebih rendah hari ini berikutan ketiadaan berita baharu yang menggerakkan pasaran.

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata prestasi eksport minyak sawit Malaysia bagi Januari 2025 agak suram setakat ini, dengan anggaran eksport Intertek Testing Services bagi 1 hingga 10 Januari berjumlah 350,788 tan dengan penyusutan 21.35 peratus.

Anggaran AmSpec pula sebanyak 300,218 tan, berkurangan 29.12 peratus berbanding anggaran eksportnya bagi tempoh 1 hingga 10 Disember.

Dari segi pengeluaran, data Persatuan Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menunjukkan pengeluaran kilang di selatan Semenanjung bagi 1 hingga 10 Januari merosot 3.84 peratus.

Sementara itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangka pengeluaran minyak sawit bagi 2025 berjumlah 19.5 juta tan, meningkat daripada 19.34 juta tan manakala eksport sebanyak 17.3 juta tan, menokok daripada 16.9 juta tan, dan stok akhir pada 1.6 juta tan daripada 1.71 juta tan pada 2024.

MPOB turut mengunjurkan harga minyak sawit Malaysia pada tahun ini akan diniagakan dalam julat RM4,000 hingga RM4,300 satu tan.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata MSM ditutup rendah, dipengaruhi oleh penyusutan pasaran minyak kacang soya Chicago serta kebimbangan mengenai permintaan eksport yang perlahan.

"Kami melihat paras sokongan harga melebihi RM4,350 satu tan manakala rintangan pada RM4,520 satu tan," kata Ng.

Pada penutupan dagangan, kontrak Januari 2025 turun RM147 kepada RM4,668 satu tan, Februari 2025 susut RM78 kepada RM4,578 satu tan dan Mac 2025 berkurangan RM63 ke RM4,437 satu tan.

Kontrak April 2025 merosot RM55 kepada RM4,337 satu tan, Mei 2025 berkurangan RM62 kepada RM4,244 satu tan dan Jun 2025 menyusut RM68 kepada RM4,179 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 80,099 lot berbanding 75,523 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka menokok kepada 221,897 kontrak berbanding 221,834 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan susut RM70 kepada RM4,800 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy