KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) mencipta rekod baharu untuk Malaysia sebagai perjanjian perdagangan bebas terpantas dimuktamadkan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata perjanjian yang dimuktamadkan dalam tempoh 11 bulan itu adalah bukti komitmen dan kerjasama kedua-dua pihak.
“Perjanjian ini dijangka akan meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sebanyak sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Zafrul berkata CEPA juga merupakan perjanjian perdagangan bebas yang pertama antara Malaysia dengan sebuah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council - GCC).
Kejayaan memuktamadkan rundingan tersebut adalah peristiwa penting dalam usaha mengeratkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan UAE.
“Insya-Allah, CEPA akan memangkin integrasi ekonomi yang lebih rapat, serta menyumbang kepada kemakmuran bersama dan pertumbuhan yang lebih mampan untuk kedua-dua negara.
“Tetapi usaha kita tidak terhenti di sini. Sasaran kita selepas ini, rundingan perjanjian bebas bersama GCC yang terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE,” katanya.
-- BERNAMA