PASARAN

Pasaran Getah KL Ditutup Lebih Tinggi

14/01/2025 06:12 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi hari ini, disokong oleh aliran menaik dalam pasaran hadapan getah serantau, kata seorang peniaga. 

Niaga hadapan getah Shanghai mencatatkan keuntungan selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kenaikan tarif perdagangan secara beransur-ansur pada 2025. 

Berdasarkan laporan, pasukan Presiden AS Donald Trump sedang menyediakan pelan bagi pengenaan tarif perdagangan secara beransur-ansur dalam beberapa bulan akan datang, melibatkan tambahan tarif bulanan antara dua peratus hingga lima peratus, memberikan Washington lebih leveraj dalam rundingan perdagangan dan pada masa yang sama, menghalang lonjakan inflasi yang disebabkan oleh duti berkenaan.

Selain itu, keyakinan terhadap langkah rangsangan China selanjutnya telah merangsang pasaran walaupun musim hujan telah menjejaskan pengeluar getah asli utama, ini memberikan sokongan kepada harga, kata peniaga itu.

Namun begitu, beliau berkata kenaikan selanjutnya dihadkan oleh kerugian dalam penanda aras harga minyak selain kemantapan ringgit berbanding dolar US memandangkan para peniaga sedang menunggu perangkaan getah asli yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Pengeluaran getah asli menokok sebanyak 0.2 peratus pada November 2024 kepada 38,481 tan, berbanding 38,400 tan yang dicatatkan semasa Oktober 2024. 

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa SMR 20 naik sebanyak 10.0 sen sekilogram kepada 883.50 sen sekilogram berbanding 873.50 sen sekilogram yang disaksikan semalam, manakala lateks pukal susut 2.0 sen sekilogram kepada 672.00 sen sekilogram daripada 674.00 sen sekilogram sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy