EKONOMI

Anwar Dapat Kepercayaan Kerajaan, Syarikat Besar UAE Untuk Tingkatkan Kerjasama Ekonomi

15/01/2025 09:31 AM

Daripada Kamarul Ariffin Md Yassin

ABU DHABI, 15 Jan (Bernama) -- Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), lawatan pertama ke luar negara untuk 2025, telah memberikan hasil yang memberangsangkan dengan kejayaan Perdana Menteri dan Malaysia mendapat kepercayaan kerajaan UAE dan syarikat besar dari negara teluk itu untuk menjalin kerjasama ekonomi.

Pencapaian utama ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) yang dijangka meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kejayaan memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) turut membuka ruang kepada perjanjian yang sama dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang lain iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Arab Saudi, malah dengan GCC itu sendiri.

Lawatan kerja selama tiga hari, yang bermula Ahad lepas merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023 dan lawatan pertama beliau ke luar negara selepas Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.

Walaupun kehadiran Anwar di UAE untuk menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai, beliau turut mengambil kesempatan untuk bertemu tiga pengurusan kanan syarikat utama dan dana kekayaan berdaulat negara itu iaitu Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Mubadala dan Masdar.

Hasil pertemuan tersebut, Masdar merancang untuk melabur di Malaysia secara usaha sama dengan syarikat tempatan bagi projek tenaga hijau, infrastruktur, bateri utama dan memperkukuh grid tenaga.

ADIA pula berkaitan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan rangka kerja Ekonomi MADANI selain projek di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam pembuatan termaju.

Ini turut melibatkan pembangunan infrastruktur, teknologi hijau, tenaga boleh baharu (TBB), logistik, kesihatan, ekonomi digital dan pendidikan.

ADIA juga merancang untuk terlibat dalam penyusunan semula Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang melibatkan penguasaan Khazanah Nasional berdasarkan pengalaman dengan lapangan terbang utama seperti di Dubai, Abu Dhabi, Heathrow (London) dan Paris.

ADIA mahu bekerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) dan MAHB bagi penstrukturan semula itu dan mahu peranan lebih positif untuk melengkapi GIP dan MAHB.

“Pengalaman yang ada pada ADIA akan dipindahkan kepada MAHB,” kata Perdana Menteri yang menyatakan sokongan kerajaan untuk penyertaan ADIA itu.

Mubadala pula membincangkan mengenai pengeluaran gas asli cecair (LNG) dan pembangunan infrastruktur berkaitan gas, selain pembangunan rantaian nilai seperti hidrogen biru serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan projek di JS-SEZ.

“Kebetulan ini lawatan pertama untuk tahun 2025. (Kesan positif daripada lawatan) seluruh negara akan menerima manfaatnya,” kata beliau.

Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang juga Pemerintah Abu Dhabi di sini selain pertemuan dengan rakan sejawat, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Dubai, yang dilihat sebagai pemudah cara kepada kejayaan lawatan ini.

Bagi kehadiran di ADSW, Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN 2025 pada sesi plenari ADSW menyertai dialog bertajuk “ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity”,  menjadi platform pertama beliau untuk menguar-uarkan Kepengerusian ASEAN kepada kumpulan yang lebih besar.

Penyertaan Perdana Menteri bersama barisan pemimpin negara lain di ADSW semalam dilihat bertepatan dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu Keterangkuman dan Kemampanan.

Beliau turut menghadiri sesi dialog Youth 4 Sustainability (Y4S), iaitu sebahagian daripada program ADSW 2025 untuk golongan belia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy