DUNIA

China Dan EU Rakan Saling Menyokong, Kata Xi

15/01/2025 03:16 PM

BEIJING, 15 Jan (Bernama-CMG) -- China dan Kesatuan Eropah (EU) sebagai rakan yang saling menyokong, bebas daripada konflik yang melibatkan kepentingan teras atau percanggahan pendapat dalam bidang geopolitik.

Perkara itu dinyatakan Presiden China Xi Jinping dalam perbualan telefon dengan Presiden Majlis Eropah Antonio Luis Santos da Costa di sini petang Selasa.

Setelah mengucapkan tahniah kepada Costa yang baru dilantik menyandang jawatan sebagai Presiden Majlis Eropah, Xi berkata 2025 yang menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-EU merupakan titik sejarah yang signifikan.

"Berdepan dengan situasi antarabangsa yang bertambah serius dan rumit, China dan EU diharap mengekalkan visi dan misi asal hubungan rasmi, meningkatkan komunikasi serta memupuk rasa saling percaya dari segi strategi dan bertindak berpandukan perkongsian sedia ada.

"China percaya EU adalah rakan kerjasama yang boleh dipercayai. Kedua-dua pihak mempunyai keserasian yang boleh saling melengkapi dan saling menguntungkan dalam kolaborasi ekonomi dan perdagangan. Sebagai dua pengamal perdagangan multilateral, China dan EU telah menjalin hubungan ekonomi yang kukuh yang bercirikan simbiosis.

"Pembangunan berkualiti dan peningkatan tahap keterbukaan di China akan menyediakan peluang baharu kepada kerjasama China-EU. Kedua-dua pihak disarankan kekal terbuka antara satu sama lain, memperkukuh sistem kolaborasi dan mencipta penggerak baharu bagi pertumbuhan, di samping memastikan kelangsungan dan kelancaran dalam penganjuran aktiviti sambutan ulang tahun ke-50 hubungan bilateral, mempererat pertukaran sosiobudaya, memudahkan mobiliti keanggotaan, mendukung interaksi di peringkat daerah dan kerjasama pendidikan, agar membantu rakyat di peringkat akar umbi saling mengenali hati dan budi masing-masing," kata Xi.

Sementara itu, Costa menyatakan kesediaan pihaknya menyelesaikan perselisihan ekonomi dan perdagangan dengan China menerusi dialog serta rundingan. Dalam dunia yang penuh dengan pelbagai cabaran seperti isu perubahan iklim, EU dan China perlu bekerjasama rapat untuk memberi sumbangan proaktif kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan sejagat.

Pemimpin kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pendapat mengenai isu Ukraine. Xi turut menyatakan pendirian tegas China tentang perdamaian dan rundingan.

--BERNAMA-CMG 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy