RENCANA

Pengesanan Awal, Diagnostik & Terapi Terkini Jadikan Malaysia Pilihan Pesakit Kanser Prostat Asing

15/01/2025 09:38 AM
Daripada Muhammad Basir Roslan

Kanser prostat merupakan kanser ketiga paling lazim dihidapi oleh kaum lelaki di Malaysia dengan 70 peratus daripada kes hanya didiagnosis ketika keadaan sudah teruk.

Kelewatan diagnosis ini secara langsung menipiskan peluang kejayaan rawatan. Lebih-lebih lagi kos terapi juga sangat mahal. 

Situasi ini mengetengahkan kepentingan diagnosis awal dan opsyen rawatan dengan kos berpatutan bagi meningkatkan peluang pulih pesakit kanser prostat di negara ini.

Mujurlah Malaysia yang semakin dikenali sebagai peneraju dalam menerima guna rawatan  dan diagnostik termaju kanser prostat, turut mempelopori penggunaan pengimbasan Prostate-Specific Membrane Antigen (PSMA) PET dan Radioterapi Tubuh Stereotaktik (SBRT) di hospitalnya.


Kala Krishnan, Director Of Allied Health Services (Radiotherapy/ Nuclear Medicine/ Imaging) of Beacon Hospital, leads a media tour to explain the advanced diagnostic technologies and treatments available for prostate cancer.

Pengimbasan PSMA PET misalnya, membolehkan pengesanan kanser prostat dengan tepat walaupun di peringkat awal, meningkatkan ketepatan diagnosis dan membolehkan intervensi dilakukan tepat pada masanya.

SBRT pula memberikan dos radiasi yang tinggi dengan ketepatan luar biasa, sekali gus mengurangkan kesan ke atas tisu sihat di sekelilingnya dan memendekkan tempoh rawatan.

Tidak seperti keadah pengimejan konvensional seperti biopsi, ultrabunyi dan teknik pengimejan biasa - yang mengambil masa lebih lama - teknologi moden ini menawarkan diagnosis yang lebih cepat dan rawatan lebih berkesan, kata pakar.

 

PENDEKATAN INOVATIF

Menurut Dr Lingeswaran Kasilingam, pakar perunding perubatan nuklear di Hospital Beacon, Petaling Jaya, imbasan PSMA PET menyasarkan reseptor PSMA, iaitu protein yang banyak terdapat pada sel kanser prostat, sekali gus membolehkan pengimejan beresolusi tinggi yang berupaya mengesan lesi kanser terkecil.

Berbanding kaedah tradisional seperti pengimbasan tulang dan lain-lain, PSMA PET menawarkan kepekaan, kecekapan dan ketepatan yang jauh lebih baik, mampu mengenal pasti lesi bersaiz sekecil 0.3 sentimeter, mengesan kanser yang mungkin tidak dapat dikesan oleh pengimejan konvensional. 


Unlike conventional methods such as biopsy, ultrasound and conventional imaging techniques - which are often time-consuming and prone to delays - this modern technology offers faster diagnosis and more effective treatment, experts say.

“Kepekaan pengimbasan PSMA PET bukan hanya meningkatkan ketepatan diagnosis tetapi juga membolehkan doktor menyesuaikan intervensi dengan tepat, sekali gus mengelakkan terlebih atau terkurang rawatan, dan akhirnya meningkatkan peluang pulih pesakit.

“Pengimbasan tulang tradisional misalnya, memerlukan dos penyurih sinar yang lebih tinggi dan masa pengimejan lebih lama. Sebaliknya, pengimbasan PSMA PET menggunakan dos lebih rendah (4-5 milliCurie/mCi) dan dapat mencapai pengesanan penuh dalam tempoh kira-kira satu jam dengan masa pengimejan hanya mengambil masa tujuh hingga lapan minit.”

“Kecekapan ini meningkatkan keselesaan pesakit dan membaiki aliran kerja klinikal secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui oleh Bernama selepas sesi perbincangan khas tentang kemajuan perubatan dalam rawatan kanser prostat, anjuran Novartis Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata pengimbasan PSMA PET juga mampu mengesan perubahan molekul yang berlaku sebelum kemunculan kelainan anatomi, memudahkan pakar membezakan lesi kanser dan keadaan tidak berbahaya seperti artritis atau patah tulang, sekali gus meningkatkan ketepatan diagnosis.

Dos penyurih sinar yang dikurangkan itu turut meminimumkan pendedahan radiasi jangka panjang, menjadikan pengimbasan PSMA PET lebih selamat untuk pesakit yang mungkin memerlukan pengimbasan susulan.

“Pengimbasan PSMA PET juga memainkan peranan penting dalam memantau kanser prostat selepas rawatan. Apabila tahap antigen spesifik prostat (PSA) meningkat, pengimejan konvensional mungkin tidak dapat mengesan lesi berulang yang kecil berbanding pengimbasan PSMA yang dapat mengenal pasti walaupun kawasan terkecil, memastikan intervensi tepat pada masa dapat dilakukan bagi mengawal penyakit,” katanya.

 

SBRT “PENEMBAK HENDAP”

SBRT dianggap sebagai satu lagi perkembangan transformatif dalam rawatan kanser prostat, dan seperti yang dijelaskan oleh Datuk Dr Mohamed Ibrahim A Wahid, Pakar Onkologi Klinikal dan Pengarah Perubatan Beacon Hospital, SBRT menyampaikan radiasi bersasar dengan ketepatan submilimeter meminimumkan kerosakan pada tisu sihat di sekelilingnya. Teknik ini mengurangkan kesan sampingan dan meningkatkan peluang pesakit sambil memendekkan tempoh rawatan.

Tidak seperti radioterapi yang selalunya memerlukan sesi harian selama beberapa minggu, SBRT dapat melengkapkan rawatan dengan hanya lima sesi atau kurang. Proses rawatan yang dipermudahkan ini meminimumkan gangguan dalam kehidupan harian pesakit dan mengurangkan komplikasi seperti kerengsaan usus atau pundi kencing, meningkatkan kualiti hidup pesakit semasa dan selepas rawatan.


Dr Lingeswaran Kasilingam, nuclear medicine consultant at Beacon Hospital (seated in front, left) and Datuk Dr Mohamed Ibrahim A Wahid, Clinical Oncologist and Medical Director of Beacon Hospital (right) during a closed discussion session held with the media.

“Integrasi teknologi canggih telah meningkatkan lagi ketepatan SBRT, menambah baik keberkesanan rawatan, mengurangkan kesan sampingan dan memendekkan masa pemulihan,” tambahnya.

Menurut Dr Mohamed Ibrahim, penggunaan gabungan pengimbasan PSMA PET dan SBRT mengubah cara kanser prostat didiagnosis dan dirawat, sambil menambah bahawa kadar kejayaan SBRT sangat mengagumkan dengan kadar kawalan lima tahun pada 95 hingga 97 peratus.

Satu lagi rawatan berpotensi bagi penghidap kanser tahap teruk ialah Radioligand Therapy (RLT), yang melibatkan penggunaan radioisotop terapeutik yang menyasarkan reseptor PSMA pada sel kanser, memberikan radiasi bersasar sambil melindungi tisu sihat.

“Terapi ini menunjukkan potensi besar, terutamanya bagi pesakit dengan kanser prostat metastatik yang sudah kehabisan opsyen rawatan lain,” katanya, menambah ujian klinikal RLT bermula pada 2017 dan masih berterusan hingga sekarang.

Sambil menegaskan pengesanan awal amat penting bagi meningkatkan peluang penghidap kanser prostat, Dr Lingeswaran berkata lelaki berusia 50 tahun dan ke atas, terutamanya yang mempunyai sejarah kanser prostat dalam kalangan ahli keluarga, harus melakukan saringan berkala.

Gejala yang perlu diperhatikan termasuk kerap kencing, sukar memulakan atau menghentikan aliran kencing, aliran urin yang lemah atau terputus-putus, darah di dalam air kencing atau air mani serta kesakitan pada bahagian pelvis.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa pengesanan awal melalui ujian PSA, pemeriksaan rektum secara digital dan pengimbasan PSMA PET sebagai amat penting dalam menambah baik peluang pulih (survival)  serta kualiti hidup,” tambahnya.

 

HAB PERUBATAN PELANCONGAN 

Sementara itu, ketersediaan rawatan kanser terkini seperti SBRT dan PSMA PET antara faktor yang mengangkat Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelancongan perubatan.

Menurut Dr Mohamed Ibrahim, satu lagi faktor peningkatan populariti Malaysia sebagai hab pelancongan perubatan ialah kemampuannya menawarkan penjagaan bertaraf dunia pada harga lebih rendah berbanding negara tetangga.


PSMA PET and SBRT scans in Malaysia cost less than in Indonesia and Singapore, which may not be affordable for most patients.

Contohnya, pengimbasan PSMA PET di Malaysia menelan kos lebih rendah berbanding Indonesia danu Singapura.

Begitu juga dengan SBRT yang ditawarkan pada kos lebih rendah di Malaysia berbanding negara seperti Singapura dan Australia, yang mungkin tidak mampu dibayar oleh kebanyakan pesakit.

“Kecekapan kos digabungkan dengan penjagaan berkualiti tinggi, telah membawa peningkatan pesakit antarabangsa memilih Malaysia untuk menjalani rawatan kanser khusus,” katanya.

Dr Mohamed Ibrahim berkata langkah Malaysia yang menerima guna terapi termaju seperti SBRT lebih awal, membantu meletakkan negara ini sebagai peneraju serantau bagi penjagaan kanser, menarik pesakit dari Australia, Iran, Indonesia dan negara-negara lain.

“Masa depan rawatan kanser prostat di Malaysia adalah cerah dengan tumpuan pada perubatan ketepatan, rawatan cekap kos dan peningkatan peluang pulih pesakit.

“Dengan menerima guna teknologi diagnosis dan rawatan inovatif, negara ini bukan sahaja meningkatkan kadar survival dan kualiti hidup rakyat sendiri, tetapi juga menjadikannya sebagai pemimpin global dalam pelancongan perubatan bagi kanser.”

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy