SUKAN

Malaysia Berhasrat Anjur Kejohanan Berbasikal Piala Negara-negara UCI 2026

15/01/2025 01:38 PM

NILAI, 15 Jan (Bernama) -- Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menganjurkan satu daripada tiga pusingan kejohanan berbasikal trek Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Velodrom Nasional tahun depan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh berkata surat permohonan berkenaan telah dihantar kepada UCI pada penghujung 2024, menyatakan keinginan Malaysia menganjurkan siri antarabangsa berprestij itu buat kali pertama.

Beliau berkata keputusan sama ada Malaysia terpilih sebagai satu daripada tuan rumah Kejohanan Piala Negara-Negara UCI 2026 akan diketahui pada Jun tahun ini.

“Saya dimaklumkan bahawa banyak negara turut membida untuk menganjurkan Piala Negara-Negara UCI pada 2026.

“Kita perlu tunggu dan lihat, proses dan bagaimana pemilihan akan dilakukan,” katanya kepada pemberita pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 di sini hari ini.

Selain penganjuran pada 2026, Amarjit berkata secara peribadi beliau berharap Malaysia dapat menjadi tuan rumah pada 2027, memandangkan pada tahun itu bermulanya tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA 28).

"Saya boleh bayangkan banyak negara lain akan berusaha untuk itu (tuan rumah Piala Negara-Negara UCI).

“Ini kerana ideanya adalah untuk satu negara dari Asia, satu Eropah dan satu mungkin Oceania atau Amerika (menganjurkannya),” katanya.

Selain itu, Amarjit juga berharap Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah Kejohanan Berbasikal Trek Dunia selepas LA 28.

Bagaimanapun, beliau berkata UCI mempunyai kriteria khusus untuk penganjuran kejohanan berprestij termasuk jaminan dan sokongan daripada kerajaan, serta memastikan penyertaan penuh daripada negara anggota.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy