SUKAN

Program Bakat Badminton KPM-Perodua Cungkil Bakat Murid Seluruh Negara

15/01/2025 04:47 PM

KOTA  BHARU, 15 Jan (Bernama) -- Program Pembangunan Bakat Badminton Kementerian Pendidikan (KPM) bersama syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjadi platform untuk mencungkil bakat dalam kalangan murid di seluruh negara. 

Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM Jalaluddin Ismail berkata selain bagi menyokong dasar satu murid satu sukan, program itu adalah inisiatif kementerian melahirkan pelapis dalam sukan badminton untuk digilap agar mampu mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

"Secara dasarnya di bawah program ini murid yang berpotensi akan ditawarkan menyambung pengajian di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Akademi Badminton di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Sejak diadakan pada 2018, sebanyak 25 pelatih berada di SSBJ bagi meneruskan pengajian sambil menjalani latihan dalam usaha meningkatkan prestasi mereka untuk menyertai kejohanan di peringkat tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Bakat Badminton Peringkat Kebangsaan di Dewan Badminton Tengku Anis, Pengkalan Chepa di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Ahmad.

Jalaluddin berkata pada program itu sebanyak 2,400 murid daripada 70 sekolah seluruh negara mengambil bahagian dalam semua kategori yang dipertandingkan.

“Hasil daripada program ini, dua atlet (murid) telah menjadi juara di Kejohanan Badminton Remaja Dunia pada Nov lepas di China.

“Kita (KPM) mahu melahirkan atlet dalam sukan badminton yang terbaik di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Zainal berkata Program Bembangunan Bakat KPM-Perodua itu adalah inisiatif bersama bagi memberi peluang murid menunjukkan bakat mereka dalam sukan berkenaan. 

“Ia diadakan bertujuan menyediakan platform kepada bakat muda mengambil bahagian dalam program yang sistematik sekali gus menggilap bakat mereka dalam sukan badminton," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy