LENGGONG, 15 Jan (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses menyelesaikan isu berkaitan tanah bagi pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) baharu di Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, Perak.
Timbalan Menteri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata perkara berkenaan sedang diusahakan kerana ia selaras dengan rancangan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan sekitarnya menjadi hab industri sekali gus memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
“Sudah tentu ICQS sangat penting kerana kedudukan ICQS sedia ada sangat jauh. Tetapi ada sedikit isu tanah yang perlu kita selesaikan,” kataya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bot Pondok Polis Kampung Beng dan Kunci Kuaters Balai Polis Lenggong di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat.
Shamsul Anuar berkata ICQS baharu itu penting kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Betong, Thailand telah meningkatkan perkhidmatan mereka menyebabkan laluan pintu masuk di sempadan itu menjadi laluan penting.
“Khususnya penduduk di selatan Kedah dan Pulau Pinang. Sudah tentulah orang di Lenggong ini tidak lagi ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) kerana ada peluang pergi ke luar negara melalui lapangan terbang di Betong, Thailand,” katanya.
Pada April tahun lepas, Shamsul Anuar berkata KDN dan Kerajaan Negeri Perak akan memuktamadkan perbincangan mengenai pembinaan ICQS baharu Bukit Berapit di Pengkalan Hulu, pada Mei 2024.
Shamsul Anuar dilaporkan berkata terdapat beberapa isu teknikal membabitkan lokasi, keluasan serta kos pembinaan.
Pemindahan ICQS Bukit Berapit di lokasi baharu itu dicadangkan susulan kedudukan ICQS sedia ada disifatkan agak jauh dari pintu sempadan antarabangsa.
Selain itu, dengan pembinaan kemudahan di lokasi baharu nanti ia akan memberi peluang atau nilai tambah dalam meningkatkan sektor ekonomi penduduk setempat.
-- BERNAMA