KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memukul dan mengacu sebilah pisau ke arah isterinya di sebuah pangsapuri di Ampang, Selangor pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata lelaki berumur 45 tahun itu ditahan di Jalan Ampang Mewah, Ampang pada 10.30 malam semalam.
Beliau berkata isteri suspek yang merupakan seorang guru tadika membuat laporan polis selepas berlaku perselisihan faham ketika suaminya dalam keadaan mabuk menuduhnya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
“Suspek kemudian bertindak memukul dan menendang isterinya di bahagian belakang badan. Semasa kejadian, suspek juga ada mengacukan pisau ke arah isterinya dan perbuatan itu disaksikan oleh anak mereka.
“Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan soft tissue injury di bahagian leher manakala saringan ujian air kencing mendapati suspek adalah negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah dan tidak mempunyai rekod (jenayah) lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata suspek direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Sementara itu, seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pukul seorang lelaki sehingga menyebabkan cedera parah dalam kejadian yang berlaku di Jalan Pandan Indah, Ampang, Sabtu lepas.
Mohd Azam berkata suspek berumur 30-an itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada IPD Ampang Jaya di tepi jalan berhadapan IPD terbabit pada Isnin lepas.
Beliau berkata pengadu yang merupakan ibu angkat mangsa menerima panggilan daripada Hospital Ampang memaklumkan anak angkatnya yang berumur 42 tahun telah dimasukkan ke zon merah di hospital berkenaan.
“Ketika berada di Hospital Ampang, seorang lelaki yang membawa mangsa ke hospital itu memberitahu anak angkatnya telah dipukul dan mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut oleh pihak Hospital Ampang dan dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Motif kejadian dipercayai kerana dendam lama disebabkan mangsa pernah mencederakan suspek pada pertengahan 2024,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Beliau berkata suspek direman selama lima hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata.
-- BERNAMA