JENAYAH & MAHKAMAH

MINDEF Nafi Berlaku Pemberhentian Panglima ATM Disebabkan Kontrak Helikopter

15/01/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan yang sedang tular menerusi media sosial kononnya berlaku pemberhentian semua panglima serta pertukaran pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disebabkan kontrak helikopter bernilai RM16 bilion.

Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil serius kenyataan itu serta satu laporan berita palsu melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan laporan polis telah dibuat.

“Laporan dibuat untuk memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pihak yang menghebahkan maklumat palsu.

“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tular menerusi media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif kepada pertahanan negara yang boleh menggugat keamanan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pertahanan turut mengingatkan orang ramai bahawa menyebarkan berita palsu merupakan  kesalahan undang-undang yang boleh didakwa, antara lain mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy