Oleh C. Vinoothene
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Di tengah-tengah kesibukan ibu kota Kuala Lumpur, sebuah kandang lembu kecil di Kuil Sri Thandayuthapani, Sentul, menjadi tumpuan pengunjung yang meraikan sambutan Mattu Ponggal hari ini.
Mattu Ponggal adalah sebahagian daripada perayaan Ponggal yang khas bagi masyarakat India, khususnya para penternak lembu, sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran kepada lembu (mattu) atas sumbangan haiwan itu dalam kehidupan harian.
Menurut Bendahari dan Setiausaha kuil Meyyappan Manickam, tradisi sambutan Mattu Ponggal di kuil tersebut diwarisi sejak lebih 30 tahun lalu.
“Dahulu, lembu memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Sambutan ini adalah tanda penghargaan kita kepada mereka.
“Kami (penganjur) mengekalkan tradisi ini selama lebih 30 tahun untuk memastikan sambutan terus hidup,” katanya kepada Bernama hari ini.
pic-2
Sebelum upacara bermula, sembilan ekor lembu di kandang kuil itu dimandikan dan dihias dengan tanda merah (pottu) serta serbuk cendana.
Selepas itu, sami melakukan persiapan sembahyang dan mendidihkan susu di dalam periuk tanah di depan kandang lembu. Upacara ini turut disertai oleh lebih 50 pengunjung kuil.
Apabila susu mula mendidih, lembu-lembu tersebut dikalungkan bunga dan diikat dengan kain dhoti atau sari sebagai tanda kasih sayang dan penghormatan.
Menambahkan lagi keceriaan, seekor anjing bernama ‘Rocky’ menerima layanan sama seperti lembu-lembu berkenaan.
Selesai upacara, kawanan lembu itu dilepaskan ke padang, di mana pengunjung berpeluang memberi makanan seperti nasi ponggal dan buah-buahan kepada haiwan tersebut.
pic-3
Meskipun sambutan Mattu Ponggal di sini tidak semeriah di India, para pengunjung bersyukur dapat menyaksikan tradisi ini di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, kerana lazimnya upacara tersebut lebih diberi perhatian oleh komuniti kuil di kawasan luar bandar.
Seorang pengunjung, Neelaveni VM Venugopal dari Setapak, berkata ini kali pertama dia menyaksikan sambutan Mattu Ponggal di kuil tersebut.
“Saya rasa sangat bertuah. Saya percaya ini adalah panggilan daripada Tuhan. Ini pertama kali saya datang ke sini untuk mendapatkan restu,” katanya.
Sementara itu, Shalini Devi Krishnan, 30, membawa nasi ponggal yang dimasak sendiri untuk diberikan kepada lembu-lembu di situ.
“Kami datang ke sini untuk memberi makanan kepada lembu. Saya tidak pernah menyertai sambutan semeriah ini di ibu kota,” katanya.
pic-4
Meyyappan berkata kuil memainkan peranan penting dalam memastikan tradisi Mattu Ponggal terus diraikan dan diturunkan kepada generasi akan datang.
“Saya percaya kuil mampu memastikan sambutan unik ini terus bertahan. Kami mempunyai ruang dan tenaga kerja untuk meraikannya.
“Apabila minat terhadap tradisi ini berjaya dipupuk, saya yakin ia akan terus diikuti oleh generasi seterusnya,” kata beliau.
-- BERNAMA