WASHINGTON, 15 Jan (Bernama-Yonhap) -- Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengulangi sokongan "kuat" mereka terhadap rakyat Korea Selatan dan menghargai usaha negara Asia itu untuk bertindak selaras dengan perlembagaannya, selepas Presiden Yoon Suk Yeol ditahan susulan percubaannya melaksanakan undang-undang tentera yang singkat bulan lepas.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih mengeluarkan kenyataan, menegaskan semula komitmen "teguh" Amerika terhadap Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.
"AS tetap teguh dalam sokongannya terhadap rakyat Korea Selatan. Kami mengesahkan komitmen bersama kami terhadap kedaulatan undang-undang dan kami menghargai semua usaha yang dilakukan oleh Korea Selatan dan warganya untuk bertindak selaras dengan perlembagaannya," kata jurucakap itu.
"AS kekal komited untuk bekerjasama dengan pemangku presiden Choi Sang-mok dan kerajaan Korea Selatan."
"Kami menegaskan semula keyakinan AS terhadap kekuatan berterusan Perikatan AS-Korea Selatan dan komitmen teguh kami terhadap pertahanan Korea Selatan," tambah pegawai itu.
Terdahulu pada Rabu, Yoon yang menghadapi pendakwaan, ditahan oleh penyiasat di kediamannya dan dibawa pergi untuk soal siasat berhubung pelaksanaan undang-undang tentera yang singkat.
Waran untuk menahan Yoon dilaksanakan pada 10.33 pagi, menurut Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Tinggi (CIO).
-- BERNAMA-YONHAP