Oleh Rhoma Ahmad Razali
LANGKAWI, 16 Jan (Bernama) -- Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) sempena Kepengerusian ASEAN 2025 yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini, di sini memberi peluang bagi Langkawi dipromosikan secara meluas untuk pasaran ASEAN.
Bagi penggiat industri pelancongan di pulau peranginan ini, acara tersebut yang akan dihadiri ramai delegasi dari rantau ASEAN membolehkan produk pelancongan tempatan diperkenalkan kepada mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Charters Sdn Bhd Datuk Alexander Isaac berkata penganjuran acara penting itu memberi manfaat bukan sahaja kepada Langkawi tetapi juga Kedah dan Malaysia.
“Dengan kehadiran media antarabangsa, media ASEAN dan tentunya media tempatan, kita dapat mendedahkan Langkawi yang sebenar dan mengetepikan sebarang persepsi negatif mengenai Langkawi yang dicipta oleh sesetengah pihak.
“Jadi, saya berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan memberi lebih fokus untuk mempromosi Langkawi kepada pasaran ASEAN. Kita perlu membina hubungan dengan jiran-jiran kita. Kita perlu menjadikan pelancongan sebagai perjalanan tanpa sempadan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata kehadiran delegasi ASEAN akan memberi impak ketara terhadap industri pelancongan di Langkawi khususnya bagi penggiat yang menawarkan perkhidmatan penginapan dan produk seperti cenderamata.
“Kami mengalu-alukan kedatangan delegasi dari negara jiran untuk menyaksikan apa yang ditawarkan di Langkawi yang pastinya akan memberi pengalaman baharu bagi mereka,” katanya yang juga Penasihat Persatuan Perniagaan Langkawi.
Timbalan Pengerusi Persatuan Homestay Langkawi Abdul Jamil Ali pula berpandangan penggiat industri kraftangan di pulau ini harus mengambil peluang untuk memperkenalkan produk mereka sempena acara itu.
Katanya, kebiasaannya pelancong asing gemar melihat produk kraf yang dihasilkan penduduk tempatan selain merasai pengalaman menginap di inap desa.
“Macam di kawasan saya ada ramai pengusaha kraf yang menghasilkan produk berasaskan tempurung, batik dan macam-macam lagi yang boleh dijadikan buah tangan bagi delegasi ASEAN,” katanya.
Bagi Penasihat Persatuan Peniaga-Peniaga Kaum Tionghua Langkawi Lee Han Eng berkata penganjuran acara ASEAN itu memberi banyak impak terhadap pertumbuhan ekonomi setempat yang memberi manfaat kepada penduduk Langkawi.
“Pemimpin ASEAN akan lebih mengenali Langkawi iaitu pulau bebas cukai dan ia juga merupakan pulau peranginan bertaraf antarabangsa selain Bali dan Phuket di negara jiran,” katanya.
Beliau turut berharap acara ASEAN itu akan membolehkan lebih banyak penerbangan terus dari negara ASEAN ke Langkawi diadakan bagi membolehkan lebih ramai pelancong berkunjung ke Langkawi.
Bagi pengusaha kereta sewa Muhammad Zulkarnain Husin, beliau mengakui mendapat permintaan tinggi untuk sewaan kenderaannya sepanjang AMM.
“Kehadiran delegasi ASEAN berserta pegawai dan pengiring mereka, membolehkan banyak pengusaha kereta sewa menerima tempahan yang tinggi, syukur Alhamdulillah,” katanya.
-- BERNAMA