PASARAN

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Dipengaruhi Penjualan Asing

16/01/2025 07:09 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah harian hari ini walaupun mencatatkan kenaikan pada awalnya berikutan penjualan asing besar-besaran dan sekali gus menongkah aliran pasaran serantau.

Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.58 mata atau 0.42 peratus kepada 1,555.54 daripada 1,562.12 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 10.49 mata lebih tinggi kepada 1,572.61 dan mencecah paras tertinggi harian 1,576.57 pada sesi dagangan awal, sebelum mengalami tekanan jualan sehingga mencecah paras terendah harian ketika ditutup.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 517 berbanding 459, manakala 487 kaunter tidak berubah, 912 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.57 bilion unit bernilai RM3.15 bilion daripada 3.40 bilion unit bernilai RM3.08 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kalangan indeks utama serantau ditutup tinggi didorong prestasi positif Wall Street dalam tempoh semalaman.

Beliau berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) bagi Disember meningkat sebanyak 0.4 peratus, hampir seiring dengan unjuran, manakala pengukur utama Rizab Persekutuan AS menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan.

Ini sekali gus menimbulkan semula perbincangan mengenai kemungkinan pengurangan kadar faedah AS, katanya.

“Di peringkat domestik, FBM KLCI turun ke wilayah terlebih jual susulan penjualan besar-besaran oleh pelabur asing baru-baru ini.

“Kami berpandangan keadaan ini memberikan peluang kepada pembeli semasa harga murah untuk mengumpul saham, terutama saham mewah pada harga yang lebih murah. Kami menjangkakan indeks penanda aras bergerak dalam julat antara 1,550 hingga 1,560 menjelang hujung minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat rantau, Indeks Nikkei 225 Jepun naik 0.33 peratus kepada 38,572.60; Indeks Straits Times Singapura menokok 0.76 peratus kepada 3,801.13; Kospi Korea Selatan meningkat 1.23 peratus kepada 2,527.49; Indeks Shanghai Komposit China menambah 0.28 peratus kepada 3,236.03; dan Indeks Hang Seng Hong Kong melonjak 1.23 peratus kepada 19,522.89.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata walaupun FBM KLCI mencatatkan prestasi rendah hari ini namun, Indeks FBM 70 meningkat sedikit manakala sektor Teknologi di Bursa Malaysia melonjak hampir dua peratus.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan pembelian selektif, dengan pelabur menyasarkan sektor dan saham yang mempunyai prospek pertumbuhan kukuh atau penilaian yang menarik.

“Walaupun begitu, ucapan perpisahan oleh Presiden AS Joe Biden membawa nada berhati-hati, dengan kritikannya terhadap ‘kompleks teknologi-industri’ dan peringatan mengenai ‘pengaruh oligarki’.

“Cabaran sosial yang lebih luas itu wajar diberikan pertimbangan yang teliti namun, dari sudut pelaburan, fokus perlu kekal kepada data yang nyata dan perkembangan dasar yang konkrit,” katanya.

Mohd Sedek berkata dalam melangkah ke hadapan, pelabur mungkin mendapatkan pengesahan lanjut mengenai optimisme itu melalui data ekonomi tambahan.

“Data utama dari China yang akan dikeluarkan esok -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024, pengeluaran perindustrian bagi Disember dan jualan runcit -- akan memberikan petunjuk penting mengenai trajektori ekonomi global.

“Sekiranya data ini memenuhi jangkaan pasaran, keyakinan pelabur berkemungkinan semakin kukuh,” katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM10.14, sementara Public Bank turun satu sen kepada RM4.39 dan Tenaga merosot 38 sen kepada RM13.12. CIMB melonjak 14 sen kepada RM7.99 dan IHH naik satu sen kepada RM7.11.

Bagi saham aktif, CBH Engineering yang baru disenaraikan menambah 5.5 sen kepada 33.5 sen dengan 393.05 juta saham bertukar tangan, manakala TWL Holdings dan Velocity Capital masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan lapan sen.

Gamuda susut 19 sen kepada RM4.26, MN Holdings kurang lima sen kepada 99 sen, dan Swift Energy turun setengah sen kepada 36.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 26.67 mata kepada 11,925.05, Indeks FBM Emas Shariah susut 66.34 mata kepada 11,762.70, dan Indeks FBMT 100 kurang 27.56 mata kepada 11,614.89.

Indeks FBM 70 naik 37.69 mata kepada 17,830.52 dan Indeks FBM ACE menokok 7.74 mata kepada 5,158.94.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 9.69 mata kepada 831.48, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 68.41 mata kepada 18,735.33, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.70 mata kepada 165.35 dan Indeks Perladangan susut 33.63 mata kepada 7,336.38.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.64 bilion unit bernilai RM2.74 bilion daripada 1.78 bilion unit bernilai RM2.81 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.07 bilion unit bernilai RM93.08 juta daripada 1.04 bilion unit bernilai RM97.22 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula melonjak kepada 860.68 juta unit bernilai RM317.65 juta daripada 578.93 juta unit bernilai RM170.99 juta pada hari sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 138.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (287.79 juta), pembinaan (206.48 juta), teknologi (215.94 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (62.45 juta), hartanah (364.12 juta), perladangan (30.44 juta), REITs (11.10 juta), dana tertutup (121,000), tenaga (138.01 juta), penjagaan kesihatan (73.76 juta), telekomunikasi dan media (36.85 juta), pengangkutan dan logistik (15.12 juta), utiliti (65.78 juta), serta amanah perniagaan (65,500).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy